KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Lori MILO ikonik, yang sering dilihat di padang sekolah, acara sukan dan perhimpunan komuniti di seluruh negara, bukan sekadar minuman nostalgia bagi rakyat Malaysia.
Bagi Jeffridin Jaafar dan Muhammad Junaidi Hakimi, ia adalah satu legasi yang berkembang dalam kehidupan harian, dibentuk oleh ikatan antara seorang ayah dan anak serta misi bersama untuk menyampaikan lebih daripada sekadar secawan kebaikan.
Dikenali sebagai Abang MILO, pasangan ayah dan anak berkenaan menjadi kesukaan ramai, menyajikan minuman MILO hijau klasik sambil menjelmakan nilai hubungan komuniti untuk tujuan bersama.
Jeffridin memulakan kerjayanya bersama Nestle pada 1996 sebagai promoter pasar raya, dan pada tahun 2008 beliau mengambil alih peranan sebagai Abang MILO iaitu satu gelaran yang bukan sahaja membentuk kerjayanya tetapi membuka jalan kepada anak lelakinya yang masih kecil ketika itu.
Muhammad Junaidi, yang ketika itu berusia tiga tahun membesar dengan menyaksikan bapanya mengukir senyuman dan menyampaikan khasiat dari belakang lori hijau yang ikonik itu.
Kini, Muhammad Junaidi yang sudah dewasa meneruskan legasi ayahnya dengan bangga, berkhidmat kepada komuniti yang pernah melayannya sebagai kanak-kanak suatu ketika dahulu.
“Kali pertama saya dipanggil Abang MILO, saya rasa seolah-olah telah menjadi sebahagian daripada sesuatu yang bermakna. Ia bukan sekadar gelaran kerja, tetapi satu ikatan dengan masyarakat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Nestle.
Bagi Jeffridin pula, lori MILO kekal sebagai simbol nostalgia kepada rakyat Malaysia dan reaksi orang ramai setiap kali melihatnya sangat menyentuh hati.
“Kanak-kanak akan berlari ke arah kami dengan penuh teruja. Orang dewasa pula tersenyum apabila melihat kami. Malah, ibu mengandung pun jarang melangkah tanpa berhenti. Ramai yang kata mereka mengidam MILO ini sepanjang minggu. Ini menunjukkan betapa eratnya MILO dalam kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Junaidi berkata kepuasan dalam menjalankan tugas datang daripada momen-momen kecil yang penuh bermakna.
“Adakalanya hanya secawan MILO percuma sudah cukup untuk menceriakan hari seseorang. Kita dapat lihat cahaya kegembiraan dalam riak wajah mereka,” kongsinya.
Pasangan anak-beranak itu telah menghadiri ratusan acara, namun detik-detik kecil yang menyentuh hati lebih bermakna buat mereka.
“Saya masih ingat, selepas satu perlawanan bola sepak tempatan, pasukan yang menang berkumpul di sekitar lori MILO. Mereka mengangkat cawan bersama, seperti ‘meraikan’ satu kemenangan kecil. Detik itu sangat menyentuh hati saya, bukan kerana kemenangan semata-mata tetapi MILO menjadi sebahagian daripada mereka. Rasa kebersamaan itu kekal dalam ingatan,” kata Jeffridin.
Selain itu, mereka juga aktif menyertai Hari Sarapan MILO Malaysia (MBD), acara tahunan yang mempromosikan gaya hidup sihat dan perpaduan keluarga melalui aktiviti fizikal, yang telah disertai dalam pelbagai edisi di seluruh negara.
“Saya masih ingat satu tahun lepas, seorang ayah mengangkat anaknya ke atas bahu untuk melengkapkan larian terakhir. Sorakan orang ramai mengiringi mereka hingga ke garisan penamat. Itulah intipati MBD iaitu kekuatan, perpaduan dan melangkah ke hadapan sebagai sebuah keluarga,” kata Jeffridin.
Selepas lebih 60,000 peserta direkodkan di Putrajaya, Johor, Pulau Pinang dan Kuantan, edisi 2025 terus memberi inspirasi kepada gaya hidup aktif dan momen keluarga yang bermakna.
Dua lokasi terakhir siri MBD 2025 akan berlangsung di Terengganu dan Kedah pada Ogos ini, menandakan penutup inisiatif kebangsaan yang bertujuan memupuk gaya hidup sihat dan keharmonian keluarga.
Pendaftaran bagi acara akan datang dibuka mulai 4 Julai di laman sesawang rasmi www.milo.com.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial