PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) terus memperkukuh sistem agihan input pertanian negara dengan menekankan kepentingan penyampaian yang cekap dan tepat pada masanya menerusi penganjuran Kursus Pemantapan dan Pengukuhan Stokis bagi Zon Tengah.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohd Zulkifli Harun berkata kursus yang memfokuskan kepada peranan stokis dalam Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan dan Skim Insentif Pengeluaran Padi itu diharap dapat meningkatkan keberkesanan semua 195 stokis di seluruh negara dalam menyampaikan bantuan kepada pesawah.
Beliau menekankan keperluan semua stokis untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengurusan stok dan agihan bantuan bagi memastikan input sampai mengikut jadual.
“Kami juga berharap stokis dapat terus meningkatkan kejayaan dan keberkesanan serta memainkan peranan penting sebagai penyumbang maklumat dan pelaksana dasar kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan kursus itu di sini, semalam.
Program selama tiga hari itu melibatkan penyertaan 70 peserta daripada 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar NAFAS Noor Azizah Abdul Aziz berkata pengukuhan fungsi dan peranan PPK atau stokis sebagai penghubung utama kepada pesawah adalah kunci bagi memastikan sistem bantuan pertanian berjalan lancar.
“Stokis merupakan barisan hadapan dalam memastikan segala maklumat berkenaan pengedaran dan kualiti produk pembekalan dapat dikenal pasti dan disampaikan terus kepada pihak berkepentingan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Noor Azizah berkata kecekapan stokis perlu sentiasa dipertingkatkan kerana sebarang kelewatan atau kecuaian dalam pengurusan agihan mampu memberi kesan besar kepada keseluruhan sistem.
“Kita semua amat maklum bahawa sistem penyampaian bantuan kerajaan ini sangat bergantung kepada sejauh mana kita dapat memastikan pengedaran berjalan lancar, menepati masa dan selaras dengan jadual penanaman yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata program itu turut menampilkan sesi perkongsian teknikal dan libat urus bersama agensi pelaksana utama termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian (DOA) serta Pihak Berkuasa Pelaksana Projek (PIP).
Mengulas megenai penganjurannya, Pengurus Besar PPK Merlimau Mohd Sukri Abd Razak yang merupakan seorang daripada peserta berkata kursus itu memberi peluang kepada stokis untuk menilai semula peranan mereka serta mengambil langkah pembetulan dalam penyampaian dan pengagihan baja kepada pesawah.
“Kami melihat kursus kali ini sebagai satu peluang untuk memperbaiki kefahaman terhadap sistem agihan subsidi dan memastikan penyampaian lebih seragam,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial