Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek Kota MADANI Ringankan Beban Penjawat Awam, Pacu Produktiviti - KSN

26/06/2025 12:59 PM

PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19 dijangka dapat meringankan beban penjawat awam sekali gus meningkatkan produktiviti kerja, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata projek itu akan dimulakan dengan pembinaan 3,000 unit kuarters dalam fasa pertama sebagai sebahagian daripada sasaran keseluruhan 10,000 unit, bagi mengurangkan kekurangan kira-kira 12,000 unit kuarters yang sedang ditunggu oleh penjawat awam ketika ini.

“Ini adalah satu projek yang amat baik untuk penjawat awam. Saya selaku ketua kepada penjawat awam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana bersetuju membina kuarters kakitangan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian projek pembangunan Kota MADANI yang disempurnakan Anwar di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Shamsul Azri berkata reka bentuk Kota MADANI yang menggabungkan konsep 'sekolah menegak' (vertical school) serta kemudahan awam yang berdekatan dijangka memberikan impak besar dalam penjimatan kos sara hidup dan peningkatan kualiti hidup penjawat awam.

"Dengan semua kemudahan dalam jarak berjalan kaki dari rumah, penjawat awam dapat berjimat dari segi minyak dan masa. Jiwa pun lebih tenang kerana anak di tingkat bawah, ibu bapa di tingkat atas," katanya.

Kota MADANI yang meliputi kawasan seluas 41.28 hektar bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk.

Pembangunan itu turut dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital yang cekap serta sistem mobiliti hijau.

Dengan kos pembangunan berjumlah RM4 bilion, projek itu dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd menggunakan konsep Bina-Pajak-Senggara-Pindah (BLMT).

Projek berkenaan merupakan pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka masa depan Putrajaya sebagai bandar contoh yang mendukung nilai MADANI, selaras dengan visi Bandar CHASE – sebuah bandar yang bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan