DUNGUN, 26 Jun (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi pembinaan Masjid Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi, di sini.
Turut berangkat Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Datuk Seri Muhammad Mu'az.
Ketibaan baginda bersama dua anakanda itu disambut Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Zulkifli Ali serta kenamaan lain.
Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata pembinaan masjid yang akan dinamakan sebagai Pusat Hidayah itu melibatkan kos sekitar RM2 juta bagi fasa pertama.
“Projek ini merupakan projek wakaf, dengan dana yang dikumpul hasil sumbangan pelbagai pihak. Kita sasarkan untuk kumpul dana bagi keseluruhan pembinaan masjid yang mempunyai tiga fasa, iaitu berjumlah RM6 juta.
“Dana yang dikumpul bermula 2018 hingga hari ini sekitar RM2 juta, jadi kita akan buat untuk fasa pertama terlebih dahulu dengan konsep ‘minimalis’. Kita akan bina kemudahan y dahulu seperti dewan sembahyang dan bilik imam. Selepas dana mencukupi baru kita akan mula pembinaan fasa kedua dan ketiga secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Shahrin berkata pembinaan masjid yang akan bermula dalam masa terdekat di atas tanah seluas 0.61 hektar, dijangka siap pada 2027 bagi fasa pertama.
Beliau berkata masjid yang mampu menampung 1,500 jemaah itu bukan sahaja untuk memenuhi keperluan 774 pelajar UiTM Kampus Bukit Besi malah akan turut memanfaatkan masyarakat setempat, terutamanya penduduk Kampung Besol memandangkan masjid terdekat buat masa ini adalah di bandar Bukit Besi yang sejauh lima kilometer.
“Dengan jumlah mahasiswa seramai 774 orang, ruang legar kolej kediaman pelajar lelaki yang juga lobi bangunan asrama kini sedang digunakan sebagai tempat solat sementara. Kawasan landskap sekitar bangunan juga dijadikan sebagai surau tambahan untuk kegunaan solat berjemaah dan solat Jumaat,” katanya.
Shahrin berkata setelah selesai pembinaan setiap fasa, masjid ini bukan sahaja akan berperanan sebagai pusat ibadah tetapi juga sebagai pusat pengembangan ilmu, kegiatan kebajikan, dan pemupukan nilai murni dalam kalangan komuniti kampus dan masyarakat setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial