SHAH ALAM, 26 Jun (Bernama) -- Ahli Dewan Diraja Selangor Tengku Seri Wangsa Diraja Datuk Ramli Tengku Shahruddin Shah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor sempena sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri malam ini.
Pemilihan Tengku Ramli, 82, dimaklumkan menerusi pengumuman pada majlis yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan anugerah itu kepada Tengku Ramli yang turut membawa pulang wang tunai RM20,000, sijil penghargaan dan plak.
Tengku Ramli merupakan individu yang memberi sumbangan besar dalam pembangunan agama Islam dan sektor korporat sepanjang empat dekad perkhidmatannya.
Kewibawaan dan pengalaman Tengku Ramli sebagai individu yang berintegriti serta boleh dipertanggungjawab telah meletakkan beliau dalam urusan pentadbiran hal ehwal Islam di Selangor selain dunia korporat di peringkat nasional dan antarabangsa.
Ketika mengumumkan perkara itu, Penolong Pengarah Seksyen Majlis dan Keraian Unit Korporat Jabatan Agama Islam Selangor Muhamad Ashriq Masri berkata selama 16 tahun sebagai Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tengku Ramli telah memanfaatkan kedudukannya untuk memberi pandangan dan buah fikiran dalam penetapan dasar-dasar MAIS mengenai pentadbiran hal ehwal Islam.
“Ini telah mempertingkat kedudukan dan kekuatan MAIS di tengah-tengah landskap masyarakat dan politik Selangor yang pelbagai serta mencabar,” katanya.
Beliau berkata Tengku Ramli merupakan individu yang terlibat secara terus dalam memperjuangkan dan mengangkat nilai-nilai Islam melalui aktiviti pemerkasaan wakaf serta infaq.
Muhamad Ashriq berkata Tengku Ramli turut mempromosikan nilai warisan Islam melalui program pendidikan di Galeri Diraja selain menyumbang tenaga dan kepakaran dalam inisiatif kebajikan melalui badan bukan kerajaan, institusi zakat serta pendidikan.
Tengku Ramli ketika ditemui pemberita berkata anugerah itu menjadi pemangkin untuk beliau terus terlibat serta memperkasa pembangunan syiar Islam di Selangor.
Beliau turut menasihati golongan muda agar sentiasa mengimarahkan masjid sebagai antara usaha untuk terus menjaga akidah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial