Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jualan Sektor Perdagangan Pengedaran Negara Cecah RM1.766 Trilion Pada 2024 - Armizan

27/06/2025 04:21 PM

ISKANDAR PUTERI, 27 Jun (Bernama) -- Nilai jualan sektor perdagangan pengedaran negara meningkat kepada RM1.766 trilion pada 2024, berbanding RM1.674 trilion yang dicatat pada tahun sebelumnya, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata peningkatan sebanyak 5.5 peratus itu mencerminkan prestasi memberangsangkan sektor pengedaran domestik yang kekal mampan pascapandemik, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran secara lebih agresif.

“Peningkatan nilai jualan ini kita lihat sebagai satu momentum positif. Ia memberi peluang untuk kita mengarusperdanakan produk-produk tempatan dalam sektor perdagangan borong dan runcit yang besar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Selatan dan melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 bertemakan “Jom Beli Lokal” di Pusat Konvensyen Puteri Harbour di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han.

Johor dipilih sebagai lokasi Jelajah KPDN 2025 Zon Selatan yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini hingga 29 Jun, mengambil kira sambutan menggalakkan pada 2024 yang merekodkan kehadiran 761,659 pengunjung.

Siri jelajah itu akan diteruskan ke lima zon lain iaitu Zon Utara (Kedah), Zon Timur (Pahang), Zon Tengah (Selangor), Zon Sabah dan Zon Sarawak, dengan pelbagai program advokasi pengguna, promosi barangan tempatan serta pameran perkhidmatan agensi.

Armizan berkata KBBM 2025 adalah langkah strategik untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi domestik dan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memperluas jaringan pasaran tempatan serta antarabangsa.

“Kempen ini memberi ruang untuk menonjolkan kualiti produk tempatan sebagai pilihan utama, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import,” katanya.

Beliau berkata KPDN turut merekodkan nilai jualan melebihi RM347 juta menerusi KBBM sepanjang 2023 dan 2024 melibatkan hampir 700,000 unit penyimpanan stok (SKU) melalui tiga platform e-dagang utama iaitu TikTok, Shopee dan Lazada.

Armizan berkata pelaksanaan inisiatif berkenaan akan digerakkan secara pendekatan seluruh negara melalui kerjasama rentas kementerian, agensi, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

Di peringkat KPDN, katanya, kempen itu turut melibatkan kerjasama strategik dengan industri peruncitan dan platform e-dagang, serta pelaksanaan program Local to Global Retail bagi memperluas penembusan produk tempatan ke pasaran global.

“Kempen ‘Jom Beli Lokal’ bukan sahaja bersifat kesedaran, tetapi juga dasar jangka panjang untuk memperkukuh sekuriti ekonomi negara secara menyeluruh.

“Gerakan ini bukan hanya inisiatif kementerian semata-mata. Kalau jualan sektor pengedaran mencecah RM1.766 trilion, kita mahu lebih banyak produk tempatan mengisi ruang pasaran itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan