IPOH, 27 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri menyerahkan siasatan lanjut berhubung kejadian letupan dan gegaran yang berlaku pada 18 Jun lepas kepada pihak polis, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata setakat ini siasatan awal telah dilakukan namun tidak menjumpai sebarang punca atau bukti secara khusus yang boleh dikaitkan dengan insiden berkenaan.
“Siasatan diteruskan tapi belum ditemui secara spesifik jadi kita tidak boleh sebarang komen apa lagi... dan (kini) polis yang membuat siasatan sebab ia berkaitan dengan keselamatan negeri.
“Hanya satu agensi saja yang (menjalankan siasatan) iaitu polis. Apa yang diperoleh oleh polis itulah yang akan menjadi laporan kepada negeri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Kulinari Antarabangsa 2025 di Bulatan Azlan Shah hari ini.
Beliau berkata siasatan itu akan diteruskan hingga ditemui punca insiden itu kerana di Perak ia merupakan kejadian kali kedua, selain di Selangor turut berlaku insiden yang sama.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak Nizarulikram Abdul Rahim dalam kenyataan hari ini memaklumkan mengikut kajian pihaknya bunyi letupan misteri telah dilaporkan di seluruh dunia sekian lama tanpa penjelasan yang pasti.
“Bunyi ini digambarkan dari arah langit dengan letupan yang sederhana hingga kuat dan kadangkala menggegarkan tingkap dan dinding bangunan.
“Letupan misteri yang berlaku di Ipoh ini pernah berlaku pada 2012, 2018, 2024 dan terbaru pada 18 Jun 2025 kira-kira 10.30 pagi serta telah dipastikan bukan akibat letupan aktiviti kuari, ujian bom atau sonic boom daripada kapal terbang jet,” menurut kenyataan itu.
Beliau berkata kajian awal JMG Perak menunjukkan kawasan orang awam mendengar bunyi letupan tersebut adalah dalam lingkungan yang sama iaitu dari Chemor, Klebang ,Meru di utara hingga sekitar Tambun dan Gunung Rapat, di selatan.
“JMG Perak akan terus menjalankan kajian dari segi punca geologi sekitar Ipoh dan setakat ini belum dapat mengesan puncanya,” menurut kenyataan itu.
Pada 19 Jun lepas, Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai jabatan serta agensi berkaitan dalam masa terdekat bagi mengetahui punca bunyi letupan dan gegaran tersebut.
Terdahulu, insiden letupan dan gegaran dilaporkan oleh media dua kali di Perak iaitu pada 21 Okt 2024 dan 18 Jun lepas yang didakwa berlaku di kawasan Chemor, Chepor, Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi dan Sungai Siput kira-kira 10 hingga 11 pagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial