Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jelajah KPDN Zon Selatan: Sasar Jualan RM300,000, Ruang Usahawan Promosi Produk Tempatan

28/06/2025 04:11 PM

ISKANDAR PUTERI, 28 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan nilai jualan melebihi RM300,000, sepanjang tiga hari pelaksanaan “Kempen Beli Barangan Malaysia” (KBBM) sempena program Jelajah KPDN 2025 Zon Selatan bermula semalam.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDN Adiratno Che Ani berkata pada hari pertama, semalam, khemah KBBM berjaya mencatatkan nilai jualan mencecah RM93,910, meskipun berlangsung serentak dengan beberapa acara berskala besar lain di negeri ini.

“Kita menjangkakan kuasa beli pengguna di Johor mampu melonjakkan jumlah jualan sehingga RM300,000 sepanjang program ini berlangsung selama tiga hari, membabitkan 63 vendor di dalam khemah KBBM,” katanya ditemui Bernama pada Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Selatan di Puteri Harbour, hari ini.

Beliau berkata khemah KBBM mengetengahkan usahawan dari negeri zon selatan iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, dengan penyertaan pelbagai syarikat dan jenama tempatan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

“Antara nama besar yang turut serta termasuk Zus Coffee, Adabi dan Mamee Double Decker, selain rakan strategik seperti Proton dan Perodua yang mempamerkan produk di kawasan luar khemah,” katanya.

Adiratno berkata KBBM bukan sahaja memfokuskan kepada makanan dan minuman, tetapi turut menampilkan barangan keperluan rumah, kesihatan, kecantikan, pakaian serta produk gaya hidup yang dihasilkan oleh usahawan tempatan.

“Kempen ini kita remajakan semula agar rakyat Malaysia lebih mengenali dan yakin dengan produk tempatan yang setanding dari segi kualiti. Ia juga bagi membuka lebih banyak ruang kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran lebih luas,” katanya.

Beliau berkata pelancaran rasmi KBBM bertemakan “Jom Beli Lokal” semalam oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, turut memperkukuh iltizam kementerian untuk memperluas kempen itu ke seluruh negara dengan kerjasama kementerian dan agensi lain.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai untuk hadir memeriahkan program sempena cuti hujung minggu yang panjang ini dan menyokong vendor tempatan yang mungkin sebelum ini tidak dikenali sebagai produk buatan Malaysia.

“Kita tidak sedar bahawa sesetengah produk itu sebenarnya produk lokal, kerana strategi penjenamaan mereka begitu berjaya. Inilah masa terbaik untuk kenal pasti, cuba dan beli barangan Malaysia,” katanya.

KBBM yang dilancarkan semalam antara lain bertujuan memperluas penembusan produk tempatan ke pasaran lebih besar, serta mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.

Kempen itu memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan nilai jualan serta penembusan produk tempatan, memperkukuh pertumbuhan ekonomi domestik dan membantu usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan