Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

64 Peratus Syarikat Pengendali Kenderaan Perdagangan Gagal Patuhi JISA

29/06/2025 04:19 PM

KOTA BHARU, 29 Jun (Bernama) -- Sebanyak 64 peratus syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang diaudit dalam Ops Khas Garis Panduan Sistem Audit Keselamatan (JISA) dikenal pasti gagal mematuhi perkara-perkara mandatori di bawah JISA, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.

Beliau berkata Ops Khas JISA yang bermula pada 23 Jun lepas dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara melibatkan pengauditan ke atas 133 syarikat pengendali kenderaan perdagangan.

“Daripada jumlah itu, 85 syarikat didapati gagal mematuhi garis panduan JISA, manakala hanya 48 syarikat lulus audit berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Setia Khas JPJ di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata pecahan syarikat yang gagal melibatkan 43 syarikat pengendali lori dan 42 syarikat bas persiaran serta bas ekspres.

Beliau berkata antara ketidakpatuhan utama yang dikesan termasuk kegagalan melantik pegawai atau penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tiada pemasangan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) pada semua kenderaan serta kegagalan membuat pemantauan GPS secara berkala.

Menurut Aedy Fadly, banyak syarikat juga tidak merekodkan syarat pemanduan kurang lapan jam sehari serta rehat 30 minit bagi setiap empat jam pemanduan.

“Terdapat juga syarikat yang tidak menyediakan pelan tindakan keselamatan dan gagal memaparkan nombor talian penting serta nama pegawai bertanggungjawab pada kenderaan bagi tujuan aduan.

“JPJ akan menyerahkan senarai syarikat yang gagal dalam audit JISA kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut termasuk cadangan penggantungan atau pembatalan lesen pengendalian syarikat berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata JPJ tidak berkompromi dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang melanggar peraturan serta mengabaikan aspek keselamatan.

Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPJ dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan memperkukuh integriti sistem pengangkutan negara.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata JPJ akan menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar secara berperingkat ke atas semua bas ekspres, bas persiaran dan kenderaan barangan bermula 1 Julai ini.

Beliau berkata fasa awal pelaksanaan akan tertumpu kepada penguatkuasaan terhadap pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran, sejajar dengan peraturan sedia ada mewajibkan pemasangan tali pinggang keledar bagi bas yang didaftarkan selepas 1 Jan 2020.

“Sebelum ini, kita lebih kepada pendekatan advokasi, namun bermula 1 Julai ini, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar, sesuatu yang tidak dilaksanakan sebelum ini.

“Bagi bas yang didaftarkan sebelum tahun 2020 dan belum dilengkapi tali pinggang keledar, JPJ akan mengeluarkan arahan supaya pemasangan dilakukan dalam tempoh yang akan ditetapkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diwujudkan hasil daripada sesi libat urus bersama pihak industri,” katanya.

Beliau berkata sekiranya didapati gagal mematuhi peraturan ini, bukan sahaja penumpang dan pemandu boleh dikenakan saman RM300, malah syarikat juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang kerana gagal memastikan keselamatan penumpang.

Beliau berkata kebanyakan bas kini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan JPJ akan menggunakan bukti rakaman bagi mengambil tindakan ke atas pemandu sekiranya mereka tidak memastikan penumpang memakai tali pinggang keledar.

Selain itu, JPJ juga akan menguatkuasakan peraturan sama ke atas pemandu dan penumpang kenderaan barangan yang beratnya tidak melebihi 3,500 kilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan