Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JHEAT Pantau Kubur Nurly Sahirah, Ambil Tindakan Sebarang Perbuatan Khurafat

30/06/2025 02:20 PM

KUALA TERENGGANU, 30 Jun (Bernama) -- Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan perkara-perkara khurafat di kawasan perkuburan mangsa nahas bas di Gerik, Perak, Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT Aizi Saidi berkata pihaknya melalui Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Besut akan menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan tiada amalan syirik atau khurafat dilakukan di kawasan perkuburan berkenaan.

Beliau berkata sebarang perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3A, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang membawa kepada hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun.

"Mana-mana individu yang melakukan perbomohan, sihir atau apa-apa yang bercanggah dengan enakmen boleh dikenakan tindakan… JHEAT amat memandang serius perbuatan khurafat yang menyalahi agama," katanya ketika dihubungi.

Jumaat lepas tular hantaran di laman sosial termasuk Facebook yang mendakwa terdapat pengunjung bertindak mengambil tanah kubur untuk dibawa pulang bagi tujuan tertentu, dan susulan kejadian itu keluarga Allahyarham Nurly Sahirah telah memasang tali pengadang di sekeliling kubur bagi mengelak perbuatan itu berulang.

Selain itu wakil keluarga Allahyarham menetapkan waktu kunjungan orang ramai ke kediamannya dihadkan dari 9 pagi hingga 6 petang, dan tiada sebarang lawatan dari 2 hingga 5 Julai bagi memberi peluang kepada keluarganya berehat.

Allahyarhamah Nurly Sahirah adalah antara 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan pada 9 Jun lepas apabila bas yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di JRTB berhampiran Tasik Banding, Gerik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan