Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rang Undang-Undang Warga Emas Dibentang Tahun Depan - Nancy

30/06/2025 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan telah menyiapkan draf Rang Undang-undang Warga Emas yang bertujuan melindungi hak dan kesejahteraan golongan itu, dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementeriannya bercadang menyerahkan draf itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelang akhir tahun ini, namun beliau menjangkakan rang undang-undang itu hanya boleh dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Beliau berkata pihak kementerian sedang menjalankan perbincangan lanjut dengan pihak pemain industri dan kerajaan negeri, termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Apa yang kita lakukan sekarang ialah kita perlu kembali kepada pemain industri dan pihak-pihak berkepentingan untuk berunding semula dengan mereka, dan kita juga perlu merujuk kepada setiap negeri.

"Jadi ini adalah perkara yang berterusan, kerana rang undang-undang itu bukan hanya untuk penduduk di Semenanjung sahaja," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan ASEAN + Republik Korea mengenai Penjagaan dan Sokongan untuk Warga Emas, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Duta Besar Republik Korea ke ASEAN Lee Jang Keun.

Nancy berkata minat yang semakin meningkat dalam industri penjagaan telah menyumbang kepada keperluan untuk perbincangan yang lebih luas.

"Kita mahu menyegerakan perkara ini… Industri ini berkembang dengan pesat, ramai yang berminat dan mahu menjadi sebahagian daripada proses penggubalan undang-undang menerusi perbincangan yang menyeluruh," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan