KUALA TERENGGANU, 30 Jun (Bernama) -- Kanak-kanak perempuan yang kritikal selepas terlibat dalam kejadian bot terbalik di Pulau Perhentian pada Sabtu lepas dilaporkan dalam keadaan stabil.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata T. Sakthivel, 6, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) telah beransur pulih dan dapat makan seperti biasa.
Beliau bagaimanapun berkata pihak hospital masih memantau rapi perkembangan kanak-kanak itu kerana dikhuatiri berlaku gangguan pernafasan disebabkan kemasukan air terlalu banyak ke dalam badan dan organ tertentu.
“Alhamdulillah ketika lawatan saya tadi doktor maklumkan keadaan adik Sakthivel sudah bertambah baik dan stabil serta ditemani ibunya.
“… tetapi doktor belum membenarkan dia pulang kerana masih perlu pantau keadaan pernafasannya. Dia tidak alami sebarang kecederaan, cuma masa lemas banyak air masin masuk ke dalam badan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 10.30 malam Sabtu lepas, tiga penumpang termasuk dua kanak-kanak maut selepas bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak besar dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Perhentian Besar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial