Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Selangor Tubuh Jawatankuasa Khas Cegah Insiden Kebakaran Putra Heights Berulang - MB

01/07/2025 01:12 AM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Selangor akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi meneliti laporan berhubung kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lepas, dan merangka langkah jangka panjang, di samping mencadangkan peraturan-peraturan baharu dan langkah pencegahan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata jawatankuasa itu akan membabitkan petugas kerajaan negeri, Persekutuan, Petronas serta agensi-agensi teknikal berkaitan, yang akan meneliti hasil siasatan lengkap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada 26 Jun lepas berhubung insiden kebakaran itu.

Beliau berkata susulan penelitian terhadap laporan itu, jawatankuasa berkenaan akan mencadangkan langkah-langkah susulan yang perlu diambil oleh pihak kerajaan termasuk daripada aspek perundangan dan pelbagai perkara lain.

“(Aspek) Perundangan yang saya maksudkan adalah peraturan-peraturan yang boleh dicadangkan kepada pihak kerajaan negeri supaya kita boleh merangka satu langkah-langkah preventif terhadap peristiwa ini ataupun langkah-langkah susulan untuk memastikan peristiwa ini tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas pembentangan laporan siasatan letupan paip gas Putra Heights, hari ini.

Sebelum ini Pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataan memaklumkan hasil siasatan teknikal insiden terbabit selesai pada 26 Jun mengikut jangkaan yang ditetapkan.

Insiden kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Amirudin berkata pasukan siasatan terbahagi kepada dua, dengan pasukan polis yang diketuai Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memberi tumpuan kepada unsur jenayah, sabotaj dan kecuaian; manakala pasukan JKKP bersama beberapa agensi menjalankan siasatan dari sudut keutuhan paip, keadaan serta situasi tanah kawasan sekitar, dan sebarang aktiviti luaran yang mungkin menjadi punca insiden tersebut.

Beliau berkata pihaknya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pasukan siasatan serta laporan yang dibentangkan hari ini, dan fokus kerajaan negeri selepas ini adalah untuk melaksanakan tindakan lanjut bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Apa yang lebih penting adalah bagaimana langkah susulan kita. Susulan dalam erti kata mengambil langkah-langkah proaktif dalam mengelakkan ataupun mungkin menangani insiden-insiden yang berpotensi berlaku pada hari ini dan pada masa depan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk usaha menyelamat mangsa yang dilaksanakan dengan lancar, disusuli penyaluran bantuan awal serta pelaksanaan siasatan menyeluruh yang melibatkan 35 agensi berkaitan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan