Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sabah Tunjuk Prestasi Tinggi Penggunaan MyKad Untuk Program Sara

30/06/2025 09:27 PM

BELURAN, 30 Jun (Bernama) -- Sabah menunjukkan prestasi paling tinggi dalam penggunaan MyKad bagi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dengan 94 peratus daripada penerima membuat pembelian di premis berdaftar.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata sebanyak 506,000 penerima SARA direkodkan di Sabah, dengan jumlah kelayakan RM500 juta setahun.

“Sehingga Jun 2025, lebih 4.8 juta daripada 5.4 juta penerima SARA di negara ini menggunakan MyKad bagi membeli barangan asas di premis berdaftar. Ini mencerminkan kadar penggunaan 90 peratus bagi bulan ketiga pengkreditan. Selari dengan itu, premis perniagaan yang menyertai program SARA turut meningkat.

“Sehingga kini, terdapat hampir 4,000 kedai runcit dan pasar raya berdaftar seluruh negara, berbanding hanya 700 pada tahun 2024. Di Sabah sahaja terdapat lebih 430 premis berdaftar dan jumlah ini akan terus bertambah bagi memastikan akses yang lebih menyeluruh di semua kawasan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan turut menambah baik skop barangan asas yang dibenarkan dalam program SARA apabila 14 kategori barangan sedia ada diperluaskan lagi merangkumi produk kebersihan rumah seperti sabun, serbuk pencuci pakaian, pencuci pinggan dan pencuci lantai mulai 1 Mei lepas.

Sementara itu, berkaitan lawatan kerja ke Beluran bersama delegasi Kementerian Kewangan, Lim berkata perkara itu adalah sebahagian daripada komitmen pihaknya yang bukan sekadar menyampaikan bantuan tunai tetapi mencerminkan usaha kerajaan turun padang menyantuni rakyat.

“Fokus utama lawatan ini adalah meninjau pelaksanaan Program Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) selain SARA serta berinteraksi secara langsung dengan para penerima bantuan. Program ini memberi peluang kepada kerajaan untuk menilai keberkesanan bantuan dan mendapatkan maklum balas daripada penerima, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

“Di Malaysia, penerima STR yang tidak mempunyai akaun bank sebanyak 566,000, manakala 7.934 juta penerima memiliki akaun bank. Di Sabah, sebanyak 62,000 tidak memiliki akaun bank daripada 830,000 penerima STR. Hari ini, hampir 400 penerima STR di Beluran yang tidak mempunyai akaun bank hadir ke Program Penunaian STR,” katanya lagi.

Lim berkata sejumlah RM410 juta disalurkan bagi bayaran STR Fasa 1 serta Fasa 2 di Sabah, di samping terdapat dua lagi baki bayaran STR yang akan dibuat pada Ogos dan November 2025.

“Sehubungan itu, satu inisiatif dari Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan Cawangan Bank Bergerak (CBB) ke program hari ini dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan yang komprehensif, termasuk deposit, pengeluaran dan nasihat kewangan tanpa memerlukan penduduk melakukan perjalanan jauh.

“Perkhidmatan ini sangat membantu penduduk luar di kawasan Beluran membolehkan mereka mengakses perkhidmatan perbankan dengan lebih mudah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan