Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penduduk Putra Heights Terima Semula Bekalan Gas Hari Ini

01/07/2025 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Penduduk Putra Heights yang terkesan akibat kebakaran paip gas pada 1 April lepas akan mendapat semula bekalan gas yang stabil, apabila mula disalurkan menerusi paip sementara mulai hari ini.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam satu kenyataan memaklumkan pemasangan talian paip gas sementara sepanjang kira-kira 210 meter itu bagi menggantikan bahagian paip yang rosak dalam kejadian berkenaan.

“Penambahbaikan dan penstabilan tanah dijalankan di lokasi menggunakan struktur asas jambatan (bridge foundation support) bersaiz kira-kira 8 meter x 100 meter bagi memberikan sokongan lebih kukuh pada paip,” menurut JKKP dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, bagi memastikan keselamatan maksimum, beberapa ujian ketat turut dijalankan termasuk Ujian Tanpa Musnah (NDT) pada sambungan kimpalan serta ujian tekanan selama 24 jam. 

Hasil ujian yang disahkan JKKP dan pihak ketiga yang berkecuali menunjukkan tiada sebarang kebocoran atau penurunan tekanan. 

Fasa Dua projek itu akan melibatkan penggantian tiga talian paip sepanjang kira-kira 200 meter setiap satu di lokasi terjejas, dan paip berkenaan akan diletakkan atas struktur papak konkrit bagi menjamin keselamatan serta ketahanan sistem dalam tempoh lebih lama.

“Reka bentuk kejuruteraan untuk fasa itu sedang disiapkan dan dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun depan,” menurut kenyataan itu. 

Beberapa kajian geoteknikal turut dilaksanakan termasuk pemetaan tanah, kajian lapisan batuan dan pemantauan pergerakan tanah bagi memastikan kestabilan tapak pemasangan secara menyeluruh.

Sebagai langkah kawalan tambahan, PETRONAS telah diarahkan untuk menyediakan akses pemantauan masa nyata terhadap sistem injap isolasi paip bagi membolehkan penutupan pantas sekiranya berlaku kecemasan.

Jabatan itu turut memberi jaminan semua kerja pemilihan dipantau rapi dan tanpa prejudis bagi menjamin keselamatan pekerja, penduduk dan premis perniagaan sekitarnya.

“JKKP memahami keperluan mendesak penduduk dan perniagaan untuk mendapatkan bekalan gas yang selamat dan stabil secepat mungkin. Kami komited untuk memantau setiap peringkat projek ini bagi memastikan ia dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan mengembalikan keyakinan pengguna terhadap keselamatan sistem paip gas di kawasan ini,” menurut jabatan itu. 

Dalam insiden kebakaran pada 1 April itu, sebanyak 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus dan 81 rumah lagi rosak sebahagian, manakala 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar.

Sebanyak 218 rumah lain, termasuk di Kampung Tengah, Puchong, dilaporkan tidak mengalami sebarang kerosakan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan