KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan seorang individu susulan kandungan jelik bersifat perkauman yang dimuat naik di platform media sosial miliknya.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan suruhanjaya itu turut menyita sebuah telefon bimbit dan satu unit kad SIM untuk melengkapkan siasatan.
“Kandungan tersebut dipercayai menyentuh pelantikan Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu dengan naratif perkauman yang berpotensi mencetus provokasi serta menggugat perpaduan dan keharmonian negara.
“Susulan itu, individu tersebut telah dipanggil untuk memberikan keterangan dan membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“MCMC ingin mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan sebarang kandungan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R), terutamanya yang boleh memecahbelahkan masyarakat serta menggugat keharmonian negara.
“MCMC kekal komited untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, sejahtera dan dihormati, selaras dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional dan keharmonian antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia,” menurut suruhanjaya itu.
Media sebelum ini melaporkan Datuk Johnny Lim Eng Seng melakar sejarah sebagai pegawai kanan berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat kepada Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) .
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial