KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Pengerusi Lembaga Pengarah Tabung Haji Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-10 bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan pelantikan Abdul Rashid bagi menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang tamat tempoh sebagai Presiden UIAM kesembilan semalam.
Lantikan itu mendapat perkenan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.
“Kementerian yakin pelantikan Abdul Rashid akan memperkukuh peranan UIAM sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang berteraskan nilai-nilai Islam, sekali gus meningkatkan keterlihatan dan daya saingnya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kementerian turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Samsudin atas jasa bakti beliau sebagai Presiden UIAM sebelum ini,” menurut kenyataan itu.
KPT memaklumkan pelantikan Abdul Rashid adalah berdasarkan ketokohan dan kewibawaan beliau dalam sektor korporat negara terutama dalam bidang kewangan Islam.
Abdul Rashid, pengasas kepada Kumpulan Perbankan Rashid Hussain Berhad (RHB) juga merupakan Ahli Lembaga Gabenor UIAM sejak dilantik pada 2018 hingga kini selain menyandang jawatan Pro-Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka bermula 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial