KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Seramai 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dikesan menghidap jangkitan HIV pada usia seawal 18 hingga 19 tahun pada tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 1,091 jangkitan HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT bagi tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024.
"Ini menunjukkan aktiviti berisiko sudah bermula lebih awal dan usaha pengurangan kemudaratan (harm reduction) yang dilaksanakan ketika ini adalah menerusi penggunaan kaedah Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) sebagai langkah pencegahan HIV.
"Pelaksanaan PrEP di beberapa fasiliti kesihatan juga menunjukkan kejayaan dalam membendung penularan jangkitan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Media Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan 2025, di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui wujud kekangan dari segi akses remaja bawah umur kepada ujian kendiri HIV dan rawatan susulan kerana tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan mereka menjalani saringan tanpa kebenaran ibu bapa.
"Apa yang membimbangkan ialah keperluan mendapatkan persetujuan ibu bapa untuk menjalani ujian dan rawatan menyukarkan remaja tampil secara sukarela. Ini antara cabaran utama yang sedang kita hadapi," katanya.
Sementara itu, Ketua Sektor HIV/STI dan Hepatitis C, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Fazidah Yuswan memaklumkan seramai 29,941 atau 36 peratus daripada 83,937 individu yang dijangkiti HIV masih belum dikenal pasti sehingga tahun lepas.
"Kita sedang memperhebat saringan komuniti termasuk memperluas penggunaan kit ujian kendiri HIV untuk golongan berisiko, terutama mereka yang segan atau enggan tampil mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan.
"Kit ini juga boleh diperoleh menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis AIDS Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial