Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RUU Pekerja Gig Dibentang Di Parlimen Pada Ogos Atau September Ini - Ahmad Zahid

01/07/2025 10:24 PM

BANGI, 1 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig dijangka dibentang di Parlimen seawal Ogos atau Sept ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata RUU yang diusahakan kerajaan itu, merupakan akta pertama menjurus ke arah menjaga industri ekonomi gig di Malaysia serta yang pertama di dunia.

Ahmad Zahir berkata RUU itu, merupakan langkah penting dalam memperkenalkan kerangka perlindungan sosial kepada lebih 1.12 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam sektor itu.

“Terdapat beberapa negara yang hanya meminda akta-akta yang sedia ada dan memasukkan ekonomi gig dalam akta sedia ada, tetapi di Malaysia kita mempunyai akta baharu yang diwujudkan,” katanya dalam sidang media selepas sesi meja bulat ekonomi perkongsian dan industri gig di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan segala isu dan kebajikan berkaitan pekerja gig, akan ditangani segera menerusi penggubalan RUU Pekerja Gig.

Ahmad Zahid berkata Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) turut menyatakan minat untuk mengetahui pengalaman Malaysia dalam penyediaan RUU Pekerja Gig.

Beliau berkata perkara itu dinyatakan Pengerusi Sekretariat Komuniti Gig Malaysia Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang kini berada di Geneva, Switzerland bagi membentangkan mengenai RUU berkenaan kepada ILO.

 “ILO juga mahu belajar pengalaman Malaysia terhadap pengubalan akta ini,” katanya dan berkata ia merupakan undang-undang yang bakal memastikan keadilan dengan menyeimbangkan kebajikan pekerja gig.

Rang Undang-Undang Pekerja Gig dilaksana kerajaan untuk memastikan perlindungan yang saksama kepada pekerja gig, selaras dengan usaha membangunkan sebuah ekonomi masa hadapan yang adil, inklusif dan berdaya tahan.

Sementara itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) yang bakal diperkenalkan akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, bagi memastikan penyelarasan perkara tertentu termasuk penguatkuasaanya.

“Mudah-mudahan perkara ini dapat dilaksanakan setelah ia dibentangkan di Parlimen, dibahaskan dan diluluskan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Ahmad Zahid berkata penubuhan SEGiM yang akan diumumkan nanti, akan menjadi komponen utama dalam ekosistem ekonomi gig.

Beliau berkata SEGiM ini, akan berfungsi sebagai badan pelaksana, penyelaras dan pemantau utama sektor gig negara, serta memastikan pematuhan piawaian industri dan pelaksanaan dasar yang telus.

“Ia akan memperkukuh amalan kawal selia kendiri dalam kalangan penyedia platform,” katanya.

Beliau berkata SEGiM akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan penyelarasan dasar yang bersepadu di peringkat nasional.

“Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pula akan terus berperanan sebagai sekretariat teknikal, menyatukan input industri, serta menyelaraskan sesi libat urus dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA),” katanya.

Turut hadir pada sesi itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan