Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MYNIC, SSM Laksana Inisiatif Pendaftaran Domain .COM.MY

01/07/2025 10:02 PM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- MYNIC Bhd sebuah agensi di bawah Kementerian Digital hari ini mengumumkan pelaksanaan rasmi inisiatif penggunaan nama domain .COM.MY secara bersepadu, melalui kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Inisiatif yang bermula secara rasmi hari ini  itu, bertujuan memudahkan perniagaan baharu yang berdaftar dengan SSM, memperoleh nama domain .COM.MY dengan lebih mudah, sekali gus memperkukuh kehadiran digital perniagaan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Datuk Hasnul Fadhly Hasan dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu, berpotensi menggalakkan penggunaan aset digital tempatan sekali gus membantu dari segi ekonomi domestik.

“Penggunaan nama domain .MY yang dipercayai dalam kalangan pengguna turut memperkukuh kredibiliti dan keyakinan terhadap perniagaan dalam talian tempatan.

“Secara keseluruhannya, inisiatif ini mampu menyampaikan mesej tentang kepentingan transformasi digital perniagaan, pengukuhan penjenamaan dalam talian, serta penglibatan aktif dalam ekonomi digital,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif berkenaan, perniagaan baharu yang berdaftar melalui SSM kini boleh mendapatkan nama domain .COM.MY pada harga promosi eksklusif hanya RM60 setahun, berbanding harga runcit biasa RM80.

Tawaran itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos permulaan digitalisasi perniagaan, tetapi juga memberikan nilai tambah melalui identiti jenama yang profesional, perlindungan nama perniagaan, serta peningkatan kepercayaan dalam kalangan pelanggan tempatan.

Hasnul Fadly berkata mereka menjangkakan inisiatif itu akan memacu peningkatan pendaftaran nama domain tempatan, menggalakkan digitalisasi dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan menyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam indeks inovasi global.

Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman web rasmi MYNIC di www.mynic.my atau ikuti laman sosial rasmi MYNIC.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan