Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Prasarana Perkasa Hampir 5,000 Vendor Melalui Platform ESG Digital

02/07/2025 03:30 PM

PETALING JAYA, 2 Julai (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan platform digital baharu iaitu Vendor ESG Hub bagi memperkasakan hampir 5,000 vendor berdaftar termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam meningkatkan keupayaan melaksanakan perniagaan berteraskan kelestarian.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata inisiatif itu adalah langkah strategik untuk mengukuhkan ekosistem vendor dalam rangkaian bekalan Prasarana ke arah pematuhan prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) global.

“Portal Vendor ESG Hub ini menawarkan pelbagai sumber praktikal, panduan dan alat digital yang direka khusus untuk membantu vendor memahami, menilai serta melaksanakan amalan ESG secara progresif.

“Platform digital ini dibahagikan kepada empat segmen utama iaitu Nilai, Inspirasi, Belajar dan Buat, yang membolehkan mereka meningkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan dalam menghadapi keperluan perniagaan masa hadapan yang lebih mampan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran platform itu di sini hari ini.

Platform berkenaan dilancarkan sempena Minggu Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Mampan (HSSE & SD Week 2025), sekali gus menandakan komitmen berterusan Prasarana dalam menyokong ESG.

Mohd Azharuddin berkata pelaksanaan platform itu akan dilakukan secara berfasa, dengan fasa pertama melibatkan 30 hingga 50 syarikat yang dikenal pasti untuk menyertai program pendidikan dan kesedaran berkaitan ESG.

Beliau berkata selain lebih 3,000 vendor PKS tempatan, turut terlibat ialah vendor antarabangsa dari Eropah dan Asia termasuk China dan Jepun.

“Kami akan bersama-sama dengan mereka serta belajar bagaimana untuk menaik taraf dan ia akan diguna pakai untuk semua, sama ada vendor antarabangsa atau tempatan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan antara matlamat jangka panjang program itu adalah untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam operasi vendor.

“Satu daripada perkara yang kami rasa penting dalam dunia hari ini adalah mengurangkan pelepasan karbon. ESG adalah topik yang luas, tetapi antara tindakan yang boleh kami lakukan ialah mendidik vendor mengenai cara mereka boleh mengurangkan pelepasan karbon dalam operasi harian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan