Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Keamanan Selatan Thailand Semakin Baik, Kerjasama Malaysia Dihargai - ISOC4

02/07/2025 07:06 PM

Daripada Noraizura Ahmad

NARATHIWAT, 2 Julai (Bernama) -- Proses keamanan di selatan Thailand terus menunjukkan perkembangan positif hasil pendekatan damai dilaksanakan Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 Selatan Thailand (ISOC4) Tentera Darat Thailand, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Malaysia.

Pengarah Pusat Keamanan ISOC4 Mej Jen Chalemchai Suthinuan berkata pendekatan bersepadu yang menekankan kesejahteraan masyarakat dan pembangunan sosioekonomi telah mengurangkan insiden keganasan dan meningkatkan kefahaman dalam kalangan penduduk di wilayah bergolak itu.

"ISOC4 bukan hanya tertumpu kepada kawalan keselamatan semata-mata, tetapi juga mendekati masyarakat daripada peringkat kanak-kanak, dewasa hingga golongan warga emas melalui pendekatan dan didikan yang aman.

"Kita laksanakan dasar itu melalui pembentukan sahsiah baik, daya pemikiran positif, pendapatan individu, kesihatan yang baik, kelestarian alam sekitar, masyarakat sejahtera dan bebas jenayah,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata ISOC4 juga memberi fokus kepada lima bidang utama iaitu kawalan kawasan bagi mencegah kejadian tidak diingini, penguatkuasaan undang-undang secara minimum, pengurusan isu dadah, kehidupan dalam masyarakat pelbagai budaya serta penyatuan usaha pembangunan dan keselamatan.

“ISOC4 tidak bergerak bersendirian tetapi turut disokong oleh agensi lain seperti Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC). Tugas kami membina pemahaman dalam kalangan penduduk dan memastikan setiap dasar dibawa kerajaan memberi fokus kepada penolakan terhadap keganasan,” katanya.

Chalemchai berkata walaupun terdapat beberapa cabaran untuk mengekalkan keharmonian di Selatan Thailand, pihaknya melihat perubahan positif apabila masyarakat semakin memahami pentingnya keamanan dan kestabilan.

Beliau menjelaskan masyarakat mula sedar apabila keamanan yang dikecapi itu dapat memberi kebaikan kepada masyarakat setempat sekali gus meningkatkan ekonomi di kawasan berkenaan.

Walaupun baru setahun bertugas sebagai Pengarah ISOC4, Chalemchai sudah lebih 20 tahun tinggal di wilayah Selatan Thailand.

Menyentuh kerjasama dengan Malaysia, beliau menyifatkan usaha bersama khususnya di kawasan sempadan adalah baik dengan peranan aktif Malaysia membantu memantapkan usaha mewujudkan keamanan di wilayah tersebut.

“Kerjasama Malaysia sangat baik, termasuk dalam latihan dan program bersama. Lebih penting lagi, Malaysia kini Pengerusi ASEAN, sudah tentu sebagai pengerusi mereka mahu lihat kawasan ini aman,” katanya sambil menyifatkan pembinaan jambatan kedua di Sungai Golok sebagai simbol kerjasama erat antara kedua-dua negara.

Chalemchai turut berharap laporan media khususnya media sosial lebih tepat dan tidak mengelirukan masyarakat dalam memahami situasi sebenar di wilayah selatan itu.

“Saya percaya setiap kerajaan mahukan rakyat menolak keganasan. Kini kita melihat masyarakat semakin ramai menolak keganasan dan harapan kami setiap hari adalah untuk melihat kawasan ini menjadi lebih aman,” katanya.

ISOC4 adalah unit pelaksana utama di bawah Tentera Darat Wilayah Keempat Selatan Thailand yang mengetuai usaha memulihkan dan mengekalkan keamanan di wilayah selatan Thailand.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan