Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

UTP, DGH Tandatangan Perjanjian Kerjasama Projek Majukan Tenaga Sifar Karbon

03/07/2025 09:54 AM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Diamond Gas Holdings Sdn Bhd (DGH), anak syarikat Mitsubishi Corporation, menandatangani perjanjian kerjasama projek untuk memajukan tenaga sifar karbon dan mobiliti mampan di bawah Inisiatif Kampus Hijau UTP.

UTP dalam kenyataan berkata perjanjian yang terjalin hasil Memorandum Persefahaman antara UTP dan Mitsubishi Corporation yang ditandatangani Februari lepas itu, disasar untuk mengukuhkan kerjasama dalam inovasi tenaga bersih.

"Perkongsian ini juga membuka lembaran baharu dalam hubungan UTP-Mitsubishi yang telah lama terjalin, yang bermula dengan penubuhan Kursi Mitsubishi bagi Tenaga Hijau di UTP pada 2009," menurut kenyataan itu.

Menerusi kerjasama ini UTP dan DGH akan melaksanakan tiga inisiatif utama, termasuk penyelidikan bersama berhubung pelaksanaan Carbon Offsetting menerusi Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) bagi menyokong matlamat penyahkarbonan Malaysia.

Inisiatif lain ialah pelancaran projek perintis Autonomous On-Demand E-Mobility (AOEM), yang memfokuskan kepada pembangunan dan ujian sistem kenderaan elektrik autonomi dalam kampus UTP, mewujudkan platform penyelidikan untuk penyelesaian pengangkutan yang mampan.

"Ia juga akan memberi tumpuan kepada Tenaga Solar dengan Penyimpanan Bateri menerusi pelaksanaan infrastruktur tenaga suria terdesentralisasi bagi meningkatkan daya tahan tenaga di samping mengurangkan jejak karbon di kampus," katanya.

Perkongsian itu melangkaui sempadan kampus, menyokong objektif negara seperti pembangunan infrastruktur EV, mewujudkan Pusat Kecemerlangan di UTP dan mewujudkan model kemampanan berskala untuk kawasan bandar, termasuk Ipoh dan Kuala Lumpur.

"UTP, DGH, dan Mitsubishi Corporation, akan bersama dalam memupuk inovasi, pendidikan, dan kerjasama untuk mempercepatkan perjalanan Malaysia ke arah masa depan yang dipacu teknologi rendah karbon," menurut kenyataan itu.

Sementara itu Presiden UTP Ir Mohamed Firouz Asnan berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen mereka untuk membentuk masa depan mobiliti mampan.

"Bersama-sama dengan Diamond Gas Holdings, kami memajukan penyelidikan kenderaan elektrik autonomi, menggunakan kampus kami sebagai makmal hidup untuk menguji, memperhalusi dan membina penyelesaian mobiliti generasi akan datang," katanya dalam kenyataan yang sama. 

Beliau menambah bahawa kerjasama strategik itu meningkatkan keupayaan penyelidikan UTP dalam tenaga bersih dan pengangkutan pintar sambil menyediakan DGH dan Mitsubishi dengan akses kepada kepakaran akademik dan saluran paip bakat sedia masa hadapan, memacu kemajuan dunia sebenar dalam peralihan karbon rendah Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan