KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Penumpang bas ekspres dan bas persiaran boleh membuat aduan secara terus kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui aplikasi MyJPJ jika tali pinggang keledar kerusi yang mereka duduki mempunyai masalah dan tidak berfungsi.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata aduan berkenaan juga boleh disalurkan menggunakan e-mel, bagaimanapun perlu disertakan dengan bukti gambar atau video dan butiran perjalanan bas bagi memudahkan siasatan dijalankan.
Beliau berkata menjadi tanggungjawab pemandu bas untuk mengingatkan penumpang mereka supaya memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan.
"Ia bertujuan meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan awam dan untuk mengurangkan risiko kecederaan serius atau kematian dalam kemalangan seperti melibatkan bas ekspres," katanya dalam sidang media semasa operasi khas pemakaian tali pinggang keledar bagi bas ekspres dan bas persiaran di Plaza Tol Gombak malam tadi.
Mengulas mengenai operasi berkenaan, beliau berkata sebanyak 23 penumpang bas ekspres dikenakan kompaun kerana tidak memakai tali pinggang keledar melibatkan 20 warga tempatan dan tiga warga asing.
Hamidi berkata kebanyakan individu yang dikompaun memberikan alasan mereka tidak tahu keperluan untuk memakai tali pinggang keledar ketika berada di dalam bas.
Katanya, JPJ Kuala Lumpur turut mengeluarkan dua notis terhadap pemandu bas ekspres kerana pintu kecemasan tidak berfungsi dan memandu di lorong kanan secara berterusan.
"Sebanyak 41 bas ekspres dan tiga bas persiaran diperiksa dalam operasi yang bermula pada 8 malam hingga 12 tengah malam," katanya.
Beliau berkata aspek keselamatan dalam pengangkutan awam ialah tanggungjawab bersama, pematuhan terhadap undang-undang bukan sekadar tuntutan peraturan, tetapi satu komitmen terhadap nilai kehidupan.
"Semua pihak sama ada penumpang, pengusaha dan penguat kuasa, perlu berganding bahu dalam mewujudkan sistem pengangkutan yang selamat dan berdisiplin," katanya.
JPJ, bermula pada 1 Julai lepas, melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap pemakaian tali pinggang keledar bagi pemandu serta semua penumpang bas ekspres dan persiaran selaras dengan peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 Pindaan (2008).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial