Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pemeriksaan Mata Sebelum Masuk Sekolah Rendah Wajar Dilaksanakan - Dr Zaliha

03/07/2025 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Pemeriksaan mata bagi murid sebelum memasuki tahun satu wajar dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk menangani gangguan penglihatan sejak awal usia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata berdasarkan saringan penglihatan yang melibatkan 2,008 murid Tahap Satu di lima sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur tahun lepas, kira-kira lima peratus daripadanya dikesan mengalami masalah kesihatan mata.

“Daripada jumlah itu, 88 peratus mengalami rabun, empat peratus rabun warna dan lapan peratus mengalami masalah juling," katanya ketika berucap merasmikan Program Mata Hati Wilayah 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Cheras, di sini hari ini. 

Beliau berkata gangguan penglihatan boleh mengakibatkan kelewatan dalam perkembangan motor, kognitif dan bahasa dalam kalangan kanak-kanak yang berpotensi memberikan kesan jangka panjang sehingga mereka dewasa.

Sehubungan dengan itu, Dr Zaliha berharap Kementerian Pendidikan akan mempertimbangkan cadangannya menjadikan pemeriksaan mata sebagai antara syarat wajib semasa pendaftaran murid ke tahun satu.

Mengenai Program Mata Hati Wilayah, beliau berkata lima sekolah rendah terlibat dalam fasa kedua kali ini, iaitu SK Seri Bintang Utara, SK Tun Hussein Onn, SK Jalan Bellamy, SK Seri Mega, dan SK Sungai Penchala.

Beliau berkata program itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI).

“Saya dimaklumkan 92 peratus daripada murid yang menerima bantuan cermin mata menerusi program ini menunjukkan peningkatan ketara dalam aspek komunikasi dan interaksi sosial sesama rakan,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Zaliha turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada SK Seri Bintang Utara sebagai tanda sokongan terhadap komitmen sekolah berkenaan dalam menjayakan program berimpak tinggi itu.

“Berdasarkan dapatan dan impak positif yang kita terima setakat ini, saya percaya kita berada di landasan yang betul dalam melahirkan generasi murid yang lebih yakin, sihat dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan