Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pembentukan Ummah MADANI Bestari Digerak Berlandaskan Nilai Keimanan, Ilmu - Raja Perlis

03/07/2025 05:51 PM

ARAU, 3 Julai (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru supaya pembentukan Ummah MADANI Bestari digerakkan berlandaskan nilai keimanan, ilmu pengetahuan dan budaya hidup yang bertanggungjawab dalam kalangan rakyat.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah usaha memperkukuh masyarakat Islam masa kini tidak boleh bersifat retorik sebaliknya memerlukan tindakan kolektif dan berterusan merangkumi institusi keluarga, pendidikan dan kepimpinan masyarakat.

"Marilah kita bergerak bersama menuju sebuah Perlis yang lebih MADANI, sebuah negeri kecil yang berjiwa besar, menjadi contoh dalam menjayakan prinsip-prinsip Islam yang universal," titah baginda ketika berkenan merasmikan Majlis Maal Hijrah pringkat negeri 1447 Hijrah/2025 Masihi di Pusat Koreksional Perlis di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Raja Perlis bertitah prinsip MADANI seperti kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan haruslah dijadikan budaya hidup oleh seluruh warga negeri itu iaitu bukan sekadar slogan tetapi mesti diterjemahkan dalam tindakan harian.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda amat menghargai usaha semua pihak yang berganding bahu dalam membimbing, memulihkan dan memperkasakan individu di pusat koreksional berkenaan.

Baginda bertitah penghuni pusat koreksional juga adalah sebahagian daripada ummah yang berhak diberikan peluang untuk berubah dan kembali menyumbang kepada masyarakat.

"Sambutan Maal Hijrah yang dianjurkan di sini menjadi lambang harapan dan sinar baharu bahawa setiap insan mampu berubah dan setiap insan berhak untuk dihargai," titah baginda.

Pada majlis perasmian itu, Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG) Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, Kelantan yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Prof Emeritus Datuk Dr Johari Mat diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perlis 1447 Hijrah/2025 Masihi atas sumbangan besar beliau dalam bidang keilmuan dan pemikiran Islam di peringkat nasional.

-- BERNAMA

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan