JOHOR BAHRU, 4 Julai (Bernama) -- Projek pembinaan lorong tambahan bagi laluan Sedenak ke Simpang Renggam (Fasa Dua) sepanjang 17 kilometer dijangka bermula 28 Julai ini, menurut kenyataan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini.
Tempoh pelaksanaan mengambil masa 36 bulan dengan kontrak untuk kerja-kerja projek pembinaan lorong tambahan laluan ini telah dianugerahkan kepada kontraktor tempatan selepas menjalani proses tender terbuka.
Projek pembinaan lorong tambahan itu membabitkan pelebaran jalan daripada dua kepada tiga lorong.
"Bagaimanapun ketika kerja-kerja awalan di laluan ini dijalankan, ia tidak akan mengganggu aliran trafik kerana dua lorong sedia ada di kedua-dua hala lebuh raya terbabit masih kekal dibuka kepada semua kenderaan," menurut kenyataan itu.
Projek berkenaan dilaksanakan secara berfasa bermula Fasa Satu (Senai Utara ke Sedenak), diikuti Fasa Dua (Sedenak ke Simpang Renggam) dan Fasa Tiga (Simpang Renggam ke Machap).
Menurut kenyataan itu, projek pembinaan lorong tambahan di laluan Kulai ke Sedenak (Fasa Satu Pakej A) yang bermula sejak Julai 2024 berjalan lancar mengikut jadual, manakala kerja-kerja awalan bagi laluan Kulai ke Senai Utara (Fasa Satu Pakej B) juga telah bermula.
"Projek berimpak tinggi berkenaan dijangka memanfaatkan hampir 90,000 pengguna harian lebuh raya selain diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi yang lebih rancak di kawasan sekitar seperti Sedenak, Kulai, Senai, Iskandar Malaysia dan Pagoh,” menurut PLUS.
Usaha itu ialah inisiatif kerajaan bagi menangani kesesakan Lebuhraya Utara-Selatan di koridor selatan yang sering berlaku pada waktu puncak, dengan hasrat supaya pengguna lebuh raya dapat menikmati perjalanan lebih lancar pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, projek pembinaan lorong tambahan ini dibiayai sepenuhnya oleh pihak kerajaan bagi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial