Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perkhidmatan Aerotrain KLIA Disambung Semula Selepas Gangguan Sementara - MAHB

04/07/2025 07:34 PM

SEPANG, 4 Julai (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengesahkan perkhidmatan Aerotrain KLIA di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) telah digantung sementara pada 11 pagi tadi susulan takungan air dalam terowong yang disebabkan oleh hujan lebat.

MAHB dalam kenyataan hari ini memaklumkan sistem saliran terowong berkenaan dilengkapi dengan pam yang direka bentuk untuk mengendalikan kemasukan air semasa keadaan cuaca buruk.

“Namun begitu, sebuah daripada pam saliran mengalami kerosakan teknikal ketika hujan lebat hari ini, sekali gus menghalang pengaliran air secara automatik.

“Sebagai langkah keselamatan, operasi tren digantung sehingga air dikeluarkan secara manual dan landasan disahkan selamat untuk digunakan,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan Aerotrain disambung semula pada 12.15 tengah hari selepas mendapat kelulusan penuh daripada pasukan teknikal dan keselamatan.

MAHB memaklumkan perkhidmatan pengangkutan ke terminal satelit tidak terjejas sepanjang insiden berkenaan dengan para penumpang dibawa menggunakan perkhidmatan bas.

“Kami sedang membaiki sistem pam bagi memastikan prestasi optimum sekiranya berlaku cuaca buruk pada masa hadapan. Pasukan teknikal kami terus memantau rapi sistem Aerotrain pada peringkat awal operasi ini bagi memastikan sebarang penyesuaian dapat segera dilaksanakan,” katanya.

Perkhidmatan tren moden tanpa pemandu itu kembali beroperasi sepenuhnya pada Selasa selepas melalui kerja naik taraf bernilai RM456 juta, sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi MAHB berjumlah RM742 juta yang bertujuan memperkukuh kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan ulung serantau pada masa hadapan.

Menjadi ciri ikonik KLIA sejak dibuka pada 1998, Aerotrain kini menampilkan set tren Alstom Innovia APM 300R. Setiap tren tiga gerabak itu mampu membawa sehingga 270 penumpang dan bergerak pada kelajuan maksimum 56 kilometer sejam, sekali gus mengurangkan masa perjalanan antara terminal utama dan terminal satelit kepada kurang tiga minit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan