Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek ECRL Siap 85 Peratus, MRL Digesa Pantau Kelancaran Projek - KSN

05/07/2025 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) diminta memantau dengan rapi pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang kini telah mencapai kemajuan sebanyak 85 peratus.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah kali ke-32 sempena pemukiman MRL yang bermula semalam di Melaka.

Beliau berkata MRL turut diminta memastikan projek itu tidak berdepan sebarang gangguan, termasuk pencerobohan rel oleh pihak tidak bertanggungjawab, yang boleh menjejaskan perancangan serta menyebabkan kelewatan operasi yang dijangka bermula awal 2027.

“Saya yakin projek ECRL ini akan menjadi mercu kebanggaan negara, serta menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di sepanjang jajaran dan kawasan sekitarnya, sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negara.

“Ini juga selari dengan elemen Kesejahteraan dalam prinsip MADANI, yang hanya dapat dicapai melalui pendekatan menyeluruh kerajaan (whole-of-government approach) dan pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation approach) menerusi sinergi antara kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak swasta,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran berasingan, Shamsul Azri berkata pemukiman MRL itu penting untuk memfokuskan kepada hala tuju dan sasaran pengoperasian perjalanan tren ECRL.

“Banyak perkara sedang dirangka oleh pihak MRL dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan ekosistem pengoperasian rel yang efisien serta menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Selain itu, projek ini juga membuka ruang kepada aktiviti perniagaan, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menyediakan kemudahan kesalinghubungan antara Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan