Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perubatan Senaman, Regeneratif Tawar Harapan Atasi Cabaran Kesihatan Global - Mohamed Fadzli

05/07/2025 06:08 PM

KOTA BHARU, 5 Julai (Bernama) -- Persidangan Dunia Senaman dan Perubatan Regeneratif (WCERM) mencatatkan perkembangan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, melangkaui tumpuan awalnya terhadap perubatan senaman untuk meliputi perubatan regeneratif khususnya penggunaan sel stem dalam perubatan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata perubatan regeneratif kini merangkumi bidang penting seperti terapi sel, modulasi imun dan kejuruteraan tisu yang bertujuan untuk menyembuhkan tisu rosak dan memulihkan fungsi tubuh yang terjejas akibat penuaan, penyakit atau kecederaan.

“Sinergi antara sains perubatan, institusi nasional dan industri berkaitan senaman menawarkan masa depan yang cerah dan mampan khususnya untuk generasi muda,” katanya ketika merasmikan WCERM Ketujuh di sini hari ini.

Mohamed Fadzli berkata dunia kini berada di satu titik perubahan penting dengan potensi gabungan perubatan regeneratif dan sains senaman berupaya membantu menangani krisis kesihatan global yang berpunca daripada gaya hidup tidak aktif, obesiti dan penyakit kronik yang boleh dicegah.

Beliau berkata penyakit tidak berjangkit (NCD) meragut lebih 41 juta nyawa di seluruh dunia setiap tahun.

“Ini bukan sekadar statistik, tetapi satu seruan untuk bertindak. Perubatan senaman, apabila disokong oleh kemajuan dalam perubatan regeneratif, menawarkan peluang sebenar untuk membendung dan melawan cabaran yang membawa maut ini,” katanya.

Beliau merujuk kepada data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menunjukkan kurang aktiviti fizikal kini menjadi penyebab keempat utama kematian di peringkat global. WHO menganggarkan 1.4 bilion individu tidak aktif secara fizikal manakala lebih 1.9 bilion orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan termasuk 650 juta yang diklasifikasikan sebagai obes.

Mohamed Fadzli berkata Kelantan dan Malaysia komited untuk menangani isu kesihatan awam ini.

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada usaha saintifik global ini. Kami akan terus menyokong pembangunan dan pelaksanaan perubatan senaman dan regeneratif melalui infrastruktur, pendidikan dan dasar awam,” katanya.

WCERM yang ditubuhkan pada 2017 menghimpunkan pakar dalam bidang perubatan, sains dan dasar kesihatan bagi mencari penyelesaian dalam penjagaan kesihatan berasaskan senaman dan regeneratif, termasuk terapi sel stem dan kejuruteraan tisu.

Persidangan selama tiga hari yang berlangsung di sini disertai perwakilan dari 18 negara, dengan tumpuan utama kepada isu kesihatan global seperti NCD, obesiti dan gaya hidup tidak aktif fizikal menerusi kerjasama rentas sektor.

Acara ini dianjurkan oleh Asia College of Exercise Medicine (ACEM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Hungarian University of Sport Science.

Sementara itu, pengerusi persidangan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ACEM Prof Dr Muhammad Lee berkata kolej itu akan menubuhkan kampus baharu di Kota Bharu yang menjadi langkah penting dalam pendekatan Malaysia menangani NCD menerusi senaman yang dipreskripsi secara klinikal.

“Malaysia adalah negara pertama di Asia yang menetapkan senaman sebagai barisan pertama rawatan untuk NCD.

“Dengan kampus baharu ACEM di sini, kami berhasrat memperluas penyelidikan dan meningkatkan latihan kepada profesional penjagaan kesihatan dalam mempreskripsi intervensi senaman yang selamat dan berkesan,” katanya dalam ucapan dasar beliau.

ACEM yang kini beroperasi di Damansara Damai, Selangor menerajui usaha mengintegrasikan senaman ke dalam protokol klinikal bagi pencegahan dan pengurusan penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular.

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan