KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa (MAPA) ke-39 hari ini meluluskan peruntukan RM255 juta bagi melaksanakan sembilan projek perniagaan berimpak tinggi yang bakal memberi manfaat besar kepada warga koperasi dan rakyat secara keseluruhan.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata antara projek utama yang diluluskan termasuk pemilikan institusi bank digital koperasi, inisiatif keterjaminan makanan, pembangunan perumahan mampu milik koperasi serta pembangunan produk tenusu.
“Kita mahu koperasi bukan sahaja terus kekal relevan, malah menjadi pemain utama dalam sektor ekonomi yang kritikal seperti keterjaminan makanan, perkhidmatan kewangan digital dan penyediaan perumahan rakyat.
“Jumlah RM255 juta ini diluluskan untuk melonjak potensi koperasi ke tahap yang lebih kompetitif dan lestari,” katanya kepada pemberita selepas MAPA ke-39 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.
Dalam mesyuarat yang sama, dua jawatan utama turut dipertandingkan iaitu Presiden dan Timbalan Presiden Angkasa.
Abdul Fattah berjaya mengekalkan jawatan sebagai Presiden Angkasa setelah meraih sokongan majoriti perwakilan manakala Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dipilih sebagai Timbalan Presiden Angkasa bagi penggal 2025-2028.
Mesyuarat tahunan berkenaan menghimpunkan 4,898 perwakilan koperasi dari seluruh negara bagi membincangkan pelbagai resolusi penting, hala tuju gerakan koperasi nasional serta pelan tindakan strategik bagi memperkukuh kedudukan koperasi Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial