Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Lakukan Reformasi Perdagangan, Tingkat Penggunaan Mata Wang Tempatan - PM Anwar

05/07/2025 11:27 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- ASEAN telah mengambil langkah mereformasikan kumpulan itu dengan cara bukan sahaja meningkatkan perdagangan dalam kalangan negara anggota tetapi juga menggunakan mata wang tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia adalah sebagai usaha untuk meningkatkan langkah konkrit ke arah sistem kewangan yang lebih stabil dan bebas daripada dominasi unilateral.

"Sudah tentunya, ia bukan tentang de-dollarisasi (pengurangan pergantungan terhadap dolar AS), belum lagi, langkah itu masih jauh lagi. Tetapi sekurang-kurangnya kita mencuba.

"Malaysia dengan Indonesia, Malaysia dengan Thailand, dan bersama-sama dengan China, kita mula menggunakan mata wang tempatan kita sendiri, walaupun ia bermula dengan hanya 10 atau 20 peratus daripada jumlah perdagangan.

“Ia membawa perubahan kerana kita tidak boleh berterusan merungut tanpa melaksanakan rancangan sendiri, baik sesama sendiri mahupun dengan jiran kita,” kata beliau pada Forum Perniagaan BRICS bertajuk: 'Bridging Continents, Building Future: A Shared Agenda for Sustainable Progress' (Merapatkan Jurang Benua, Membina Masa Depan: Agenda Bersama untuk Kemajuan Mampan), di sini, hari ini.

Turut menghadiri forum tersebut ialah Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Naib Presiden Brazil Geraldo Alckmin dan Presiden Confederation of National Industry (CNI) Brazil, Ricardo Alban.

Anwar menekankan negara-negara Asia Tenggara perlu mendukung prinsip pemusatan, bersahabat dengan semua, menyokong tujuan yang adil namun melangkaui retorik, cakap-cakap politik, dan kenyataan kosong.

“Ia mesti melalui tindakan konkrit,” tegasnya, sambil menambah ekonomi sedang pesat membangun semakin mencatatkan kejayaan dalam bidang seperti penerbangan, teknologi, AI, dan inovasi makanan.

"Saya percaya bahawa percubaan BRICS ini akan menjadi beberapa kejayaan besar yang akan mengubah dan membawa perubahan dalam sejarah umat manusia. Saya berasal dari Malaysia, dan dalam ASEAN, kami sering membincangkan isu yang sama. Pertamanya, kita mesti bersatu. Kita bersatu dalam satu suara berdasarkan perjanjian pelbagai hala," kata Anwar.

Sementara itu, Anwar berkata anggota BRICS dan ASEAN juga perlu terus mengukuhkan kerjasama strategik, termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas rantau demi manfaat bersama negara-negara membangun.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan