KAPIT, 6 Julai (Bernama) -- Kejayaan menghimpunkan 124 tuai rumah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Edison Bugap, Sungai Melekun, Balleh di sini petang semalam, membuktikan sokongan padu rakyat terhadap kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Kerajaan MADANI.
Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kehadiran lebih 1,000 penduduk termasuk ketua kaum dan ketua masyarakat dalam majlis itu turut mencerminkan kerjasama erat rakyat dan agensi kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan di kawasan pedalaman.
“Majlis sempena perasmian pembinaan jeti besi dan jalan simen ini merupakan isyarat jelas kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan. Ia turut membuktikan kesatuan dan solidariti rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus terhadap saya selaku Ahli Parlimen Kapit dan Menteri Kerja Raya, serta ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang,” katanya dalam ucapan di majlis berkenaan.
Teruja dengan sambutan hangat penduduk, Nanta bersama Wilson mengumumkan pembinaan sebuah dewan baharu di Rumah Edison Bugap.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM857,000 kepada lebih 60 rumah panjang, merangkumi bantuan RM500 bagi setiap pintu bilik.
“Sumbangan ini sebagai tanda penghargaan atas komitmen tuai rumah dan JKKK yang hadir serta lambang terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi masyarakat terhadap GPS dan Kerajaan MADANI,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyeru masyarakat Kapit terus bersatu hati dan seiring sejalan dalam perjuangan politik demi memastikan kesinambungan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan berkenaan.
Nanta berkata Kapit yang dahulunya terpencil kini mula menikmati arus pembangunan hasil usaha berterusan kerajaan melaksanakan projek infrastruktur berskala besar dan bersifat menyeluruh.
Antara projek berimpak tinggi yang sedang dan akan dilaksanakan ialah pembinaan jambatan menyeberangi Batang Rajang dari Nanga Yong bernilai lebih RM300 juta serta jalan sepanjang 2.5 kilometer yang menghubungkan Jalan Song-Kapit ke jaringan jalan Agensi Pembangunan Ulu Rajang.
“Jalan dari Nanga Tulie ke jambatan Batang Rajang yang sedang dibina bakal menjadi nadi penghubung ke kawasan pedalaman seperti Sungai Melipis, Sungai Menuan dan Sungai Ibau,” tambahnya.
Projek lain termasuk pembinaan Kolej Profesional MARA, pembinaan balai polis baharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goram.
Kerajaan juga sudah meluluskan pembinaan hotel, Dataran Bujang Berani dan beberapa projek pembangunan lain yang akan memberi manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada masyarakat di Kapit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial