Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

AMM Ke-58: Penyertaan Memberangsangkan Bukti Kewibawaan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025

06/07/2025 03:52 PM

Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Penyertaan memberangsangkan Menteri Luar daripada negara anggota dan rakan dialog ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang bermula Selasa, membuktikan kewibawaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata perkara itu juga selari dengan jangkaan tinggi dalam kalangan negara anggota serta rakan dialog terhadap Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini.

Beliau berkata ia juga memperlihatkan minat negara luar yang semakin meningkat terhadap peranan strategik ASEAN pada pentas geopolitik global.

“Ini bukan lagi satu rutin. Walaupun terdapat banyak mesyuarat pada peringkat serantau dan antarabangsa dalam jadual, penyertaan (di AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan) setakat ini amat membanggakan,” katanya pada sidang media sempena penganjuran mesyuarat itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Sekurang-kurangnya 1,500 delegasi termasuk lebih 30 Menteri Luar ASEAN dan negara rakan dialog dijangka menghadiri siri mesyuarat berperingkat tinggi tersebut yang berlangsung hingga 11 Julai.

Antara program yang bakal menjadi tumpuan ialah mesyuarat Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), Forum Serantau ASEAN (ARF) serta mesyuarat peringkat Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Sebelum ini Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata China dan Rusia iaitu dua daripada lima kuasa nuklear dunia, bersetuju menandatangani perjanjian SEANWFZ, menandakan komitmen penting ke arah menjamin  Asia Tenggara kekal sebagai sebuah rantau yang aman dan bebas senjata nuklear.

Selain itu, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Peringkat Menteri Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV) yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai.

CEAPAD IV yang dipengerusikan bersama Malaysia, Jepun dan Palestin bakal memberi tumpuan kepada program pembangunan kapasiti, pembinaan semula infrastruktur kritikal di Palestin serta penyediaan bantuan kemanusiaan secara menyeluruh dan berkesan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan