SHAH ALAM, 7 Julai (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 berkaitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pindaan itu bertujuan menjelaskan kriteria pelantikan anggota MAIS selain anggota ex-officio, anggota Jawatankuasa Fatwa, anggota Jawatankuasa Tauliah dan anggota Jawatankuasa Rayuan Tauliah hendaklah dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
RUU yang melibatkan pindaan kepada 10 fasal itu disokong sebulat suara selepas bacaan kali ketiga dan dibahaskan oleh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Sidang DUN di sini hari ini.
Terdahulu, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah ketika membentangkan RUU itu berkata dengan pindaan berkenaan, tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah dicadangkan untuk dimasukkan sebagai tafsiran baharu dalam Enakmen No. 1/2003.
Beliau berkata dalam proses mewujudkan Rang Undang-Undang 2025 itu, MAIS telah melaksanakan sesi libat urus dengan penglibatan pihak-pihak yang berkepentingan termasuk pengamal undang-undang dan jabatan atau organisasi yang berkaitan.
"Antara pihak terlibat dalam pindaan ialah Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Jabatan Pendakwaan Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Peguam Negara, ahli akademik dan lain-lain yang berkaitan," katanya.
Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi berkata pindaan itu juga dapat mencegah pelantikan individu yang berpandangan ekstrem, liberal, atau cenderung kepada fahaman yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam pentadbiran hal ehwal Islam di Selangor.
"Ia bagi memastikan pentadbiran Islam Selangor selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan prinsip Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek pemeliharaan agama," katanya.
Beliau berkata RUU itu juga sebagai menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 14 Mac lepas yang menitahkan Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin supaya pindaan dilakukan dengan segera bagi memasukkan peruntukan berhubung kedudukan dan tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada masyarakat Islam, terutamanya di Selangor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial