Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Siasatan Awal Dapati Kereta Dinaiki Enam Beranak Terbabas, Tiada Kenderaan Lain Terlibat - Polis

07/07/2025 06:02 PM

ALOR SETAR, 7 Julai (Bernama) -- Polis percaya kereta dinaiki enam sekeluarga yang ditemukan di dalam Sungai Korok di Jitra pagi tadi telah terbabas terus ke dalam sungai berkenaan berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata pemeriksaan di kawasan berkenaan juga mendapati tiada kesan kemalangan atau kesan brek.

"Siasatan buat masa ini mendapati ia tidak melibatkan kenderaan lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada pemberita di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan pasangan suami isteri dan empat anak mereka dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi oleh ahli keluarga yang lain sejak Sabtu.

Misteri kehilangan enam beranak itu akhirnya terjawab apabila waris mengesahkan mayat yang ditemukan di dalam kereta yang berada di dalam Sungai Korok berhampiran Kampung Kemboja, Jitra pagi tadi ialah keluarga terbabit.

Mangsa ialah pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak, 32, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata pihaknya menerima aduan berhubung kehilangan enam beranak itu selepas satu laporan dibuat oleh seorang ahli keluarga mangsa Sabtu lepas.

Beliau berkata laporan awal mendapati kesemua mangsa telah keluar dari rumah ahli keluarga di Jitra kira-kira 5.30 pagi Sabtu sebelum gagal dihubungi.

“Polis telah membuka satu kertas siasatan orang hilang dan pagi ini kita menerima panggilan daripada orang awam yang mengatakan ternampak sebuah kenderaan tenggelam di dalam Sungai Korok.

"Dengan bantuan pihak bomba, kenderaan itu berjaya dikeluarkan dan enam mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini berada di dalam kereta itu. Mayat kesemua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSB untuk bedah siasat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan