Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kanak-Kanak Istimewa Serikan Perasmian AMM Ke-58 Rabu Ini

08/07/2025 04:40 PM

Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Persembahan 20 kanak-kanak istimewa daripada Persatuan Orang Pekak Malaysia (MFD) bakal menjadi antara tarikan pada majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Rabu ini.

Pemimpin koir Low Li Lan berkata persembahan itu akan membawakan lagu rasmi ASEAN dalam bahasa isyarat, menonjolkan kebolehan dan semangat luar biasa kanak-kanak cacat pendengaran yang berumur antara lapan hingga 18 tahun.

“Mereka memang tidak boleh mendengar, tetapi mereka bergantung sepenuhnya kepada bahasa isyarat serta isyarat visual daripada pengajar di hadapan. Ada yang sudah hafal dan boleh terus berisyarat secara spontan,” katanya kepada Bernama dalam bahasa isyarat yang diterjemahkan Ketua Unit Perkhidmatan Juru Bahasa Isyarat MFD Wan Zuraidah Abu.

Kanak-kanak tersebut telah menjalani latihan sejak Ahad lalu, meskipun terpaksa berhadapan cabaran seperti perlu berkumpul seawal 6 pagi dan menunggu lama sebelum persembahan, tetapi mereka sangat teruja untuk membuat persembahan.

“Ini pertama kali kami dijemput membuat persembahan pada acara sebesar ini, dengan kehadiran Perdana Menteri dan menteri-menteri luar negara. Ia satu peluang yang amat bermakna,” katanya.

Kanak-kanak yang terlibat merupakan pelajar MFD sejak mereka di peringkat taska, malah sebahagian besar daripada mereka sudah bersama persatuan itu hampir 10 tahun.

Beliau yang juga penyelia Taska Istika Jaya, Puchong turut berharap peluang seperti ini dapat membuka lebih banyak ruang kepada komuniti pekak untuk terus diiktiraf dan diinklusifkan dalam masyarakat.

“Kami harap selepas ini akan ada lebih banyak jemputan supaya anak-anak istimewa ini dapat menunjukkan bakat mereka, sekali gus membuktikan bahawa kekurangan pendengaran bukan penghalang untuk berjaya,” katanya.

Majlis perasmian AMM ke-58 akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kehadiran Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari negara-negara anggota ASEAN serta rakan dialog.

Mesyuarat yang berlangsung hingga 11 Julai ini akan membincangkan pelbagai isu serantau termasuk keselamatan, ekonomi, dan pengukuhan hubungan serantau.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan