MELAKA, 8 Julai (Bernama) -- Melaka akan memperkenalkan pelancongan udara bermula September depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata cadangan segmen itu dikemukakan International Aero Training Academy (IATAC) Sdn Bhd sebagai satu lagi produk pelancongan di negeri itu.
"IATAC memberi cadangan kepada saya supaya kawasan ini dijadikan kawasan daya tarikan pelancongan baharu … IATAC menawarkan pakej penerbangan 'joy ride' selama 40 minit dengan pesawat yang ada di sini, untuk pelancong dan pengunjung menikmati pemandangan indah di Melaka (dari udara).
"Sebanyak lapan penerbangan sehari dicadangkan dengan kadar tambang yang akan diumumkan (selepas ini) sekiranya semua proses kelulusan berjalan lancar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran dan Hari Terbuka Program Sarjana Muda Penerbangan 2u1i di IATAC Batu Berendam di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Lt Jen Datuk Arman Rumaizi dan Ketua Pegawai Eksekutif IATAC Kapten Kenneth Yap.
Mengulas mengenai program sarjana berkenaan, Ab Rauf berkata ia yang pertama dilancarkan di negara ini menerusi kerjasama strategik awam swasta antara UPNM dan IATAC.
Beliau berkata menerusi kaedah pembelajaran itu, ia menggabungkan dua tahun pembelajaran secara akademik dan setahun latihan industri berbanding tempoh maksimum enam tahun untuk memperoleh dua kelayakan, iaitu Sarjana Muda dan Lesen Profesional Penerbangan (CPL).
"Ini satu perkembangan baharu dan Melaka amat bangga dengan kehadiran (segmen) pendidikan ini kerana ia memberi satu nafas baharu dalam industri penerbangan dan pendidikan bagi negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial