Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Segerakan Pengisian Jawatan Hospital Di Johor - Tunku Mahkota Ismail

08/07/2025 08:29 PM

JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini menitahkan kerajaan Persekutuan agar segera mengisi kekosongan jawatan dalam sektor kesihatan bagi mengatasi kesesakan luar biasa yang membelenggu beberapa hospital utama di negeri ini.

Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim dan beberapa hospital lain yang terjejas akibat kekurangan tenaga kerja.

“Saya ingin menitahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) agar tindakan segera dapat diambil untuk menempatkan petugas kesihatan agar hospital ini dapat beroperasi sepenuhnya dan memenuhi keperluan kesihatan Bangsa Johor.

“Saya juga menyeru agar kerajaan Persekutuan menyegerakan proses kelulusan dan pengisian jawatan yang tidak diisi dan menyebabkan kesesakan luar biasa di hospital-hospital di negeri ini seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim dan lain-lain hospital yang berdepan isu kekurangan kakitangan kesihatan,” titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian menerusi hantaran di Facebook susulan pembukaan Hospital Pasir Gudang (HPG) yang dijadualkan mula beroperasi tidak lama lagi, yang disifatkan sebagai antara langkah penting dalam memperkukuh sistem kesihatan negeri Johor.

Baginda turut menekankan bahawa perkhidmatan kesihatan bukanlah satu kemewahan, sebaliknya merupakan hak asas rakyat yang wajib dipenuhi.

“Kesejahteraan Bangsa Johor adalah keutamaan buat saya. Keutamaan ini tidak akan saya abaikan dan saya akan terus bersuara agar suara Bangsa Johor tidak tenggelam dalam hiruk-pikuk pentadbiran dan prosedur.

“Perkhidmatan kesihatan bukan satu kemewahan, ia adalah hak asas yang sepatutnya dapat dinikmati oleh setiap rakyat, tanpa perlu menunggu lama dan tanpa perlu rasa terabai,” titah baginda.

Pada 29 Jun lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata HPG yang diserahkan secara rasmi kepada KKM akan beroperasi secara berfasa mulai 1 Ogos ini.

Beliau berkata fasa awal operasi Hospital Pasir Gudang akan merangkumi perkhidmatan mustahak seperti Kecemasan (A&E), Obstetrik dan Ginekologi serta Pediatrik, dengan 274 perjawatan telah diisi setakat 29 Jun lepas dan sasaran operasi penuh melibatkan 1,845 petugas menjelang Julai 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan