Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KKM Komited Perkasa AI, Analitik Data Dalam Sistem Kesihatan Negara

08/07/2025 10:41 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk memperkasa penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik data dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan awam negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata pendekatan berasaskan teknologi itu perlu dilaksanakan bagi menangani cabaran semasa termasuk kesan urbanisasi, beban penyakit berganda serta ketidaksamaan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

“AI bukanlah pengganti kepada tenaga manusia, sebaliknya menjadi pemangkin dalam memperkukuh pencegahan awal, meningkatkan kecekapan penggunaan sumber dan menjamin perkhidmatan kesihatan yang lebih adil dan menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif tersebut telah pun dimulakan menerusi penggunaan Sistem Pengurusan Klinikal Berasaskan Awan (CCMS) di 80 klinik, selain 230 klinik serta 22 hospital yang telah beralih kepada penggunaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR).

Selain itu, Institut Kesihatan Negara (NIH) juga telah membangunkan model AI bagi beberapa penyakit seperti COVID-19, retinopati diabetik dan kusta.

“Ketika ini, NIH sedang membangunkan persekitaran penyelidikan berasaskan awan yang dikenali sebagai Trusted Research Environment (TRE), iaitu platform analitik yang selamat dan membolehkan kolaborasi antara pelbagai pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan transformasi sistem kesihatan negara tidak boleh digerakkan oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan aktif daripada semua pihak termasuk penyelidik, pengamal perubatan serta pembuat dasar.

“Bersama kita jayakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan