Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Op Kesan 4.0: KPDN Periksa 375 Premis Sejak 1 Julai

09/07/2025 02:12 PM

SERDANG, 9 Julai (Bernama) -- Sebanyak 375 premis melibatkan 1,698 unit penyimpanan stok (SKU)  diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di seluruh negara menerusi Op Kesan 4.0 bagi tempoh 1 Julai hingga semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa KPDN Shamsul Nizam Khalil berkata pemeriksaan berkenaan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga dan melakukan pencatutan menggunakan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai alasan.

“Bagi skop penguatkuasaan, ia meliputi barangan dan perkhidmatan yang terlibat dalam semakan kadar cukai jualan dan peluasan SST yang berkaitan. Ini termasuk pemantauan terhadap barangan yang tidak terlibat dengan semakan kadar SST seperti barangan keperluan asas.

“Selain itu, pemeriksaan di bawah Op Kesan 4.0 ini meliputi semua kategori perniagaan, iaitu pengilang, pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan terhadap pemborong barangan keperluan harian di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini hari ini.

Shamsul Nizam berkata selain itu, daripada 375 premis yang diperiksa, sebanyak enam Notis Hadir di bawah Seksyen 21 Akta 723 dikeluarkan kepada syarikat, dua daripadanya telah hadir dan bersetuju untuk menangguhkan kenaikan harga serta mengekalkan harga sedia ada.

“Dua syarikat lain telah hadir dan memaklumkan bahawa pergerakan harga jualan adalah diselaraskan dengan pengenaan cukai jualan, manakala dua syarikat lain sedang dalam tindakan sesi libat urus.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan Op Kesan 4.0 juga, sebanyak 17 aduan diterima dan kesemuanya masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

KPDN akan mengambil tindakan tegas sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan dan individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda hingga RM100,000 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, boleh dikenakan denda hingga RM500,000, jika sabit kesalahan.

“KPDN juga terbuka untuk memberikan nasihat berkaitan prinsip asas dan mekanisme penentuan pencatutan bagi memastikan peniaga sentiasa peka dengan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan.

“Tindakan ini adalah sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR yang telah dilancarkan pada 19 Okt 2024 dalam menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti manipulasi harga disaran untuk menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat menerusi Pusat Arahan Penguatkuasaan 03-88826245/6088;  WhatsApp 012-6654292; portal e-Aduan KPDN di https://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan