Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

AMM Ke-58: Algeria, Uruguay Secara Rasmi Sertai TAC

09/07/2025 07:05 PM

Oleh Samantha Tan

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Algeria dan Uruguay kini secara rasmi menjadi pihak kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan perjanjian itu sebagai asas penting bagi kestabilan serantau serta kerjasama aman di rantau ini.

Penyertaan kedua-dua negara menjadikan jumlah keseluruhan negara pihak bagi perjanjian ASEAN itu meningkat kepada 57 berbanding 55 sebelum ini.

Wakil kedua-dua negara memuktamadkan komitmen masing-masing di luar sesi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang kini berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Algeria diwakili Menteri Hal Ehwal Luar dan Komuniti Kebangsaan di Luar Negara Ahmed Attaf manakala Uruguay diwakili Menteri Luarnya, Mario Lubetkin.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir Menteri-Menteri Luar ASEAN lain dan Timor-Leste sebagai pemerhati.

Diwujudkan pada 1976, TAC menggariskan prinsip-prinsip sejagat mengenai kewujudan secara aman dan kerjasama erat antara negara-negara.

Ia berfungsi sebagai kod hubungan antara negara yang mengikat di Asia Tenggara dan turut meluaskan pengaruhnya di luar rantau itu.

Perjanjian itu telah dipinda sebanyak tiga kali iaitu pada 1987, 1998 dan 2010 terutama bagi membolehkan negara-negara di luar Asia Tengara serta organisasi serantau yang terdiri daripada negara-negara berdaulat menyertainya.

TAC turut menerima sokongan meluas di peringkat antarabangsa dan menarik penyertaan kuasa utama dunia seperti China, Amerika Syarikat, Rusia serta Kesatuan Eropah.

Penyertaan ini menonjolkan peranan penting TAC dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan bukan hanya di Asia Tenggara tetapi juga komuniti antarabangsa yang lebih luas.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan'.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan