KANGAR, 9 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan sistem parkir pintar di sekitar bandar Kangar yang mula beroperasi pertengahan Jun lepas ditangguhkan serta-merta bagi tempoh enam bulan susulan rungutan orang ramai berkaitan keselesaan dan kemudahan penggunaannya.
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat exco hari ini dengan mengambil kira keperluan untuk menambah baik pelbagai aspek pelaksanaan sistem itu.
Beliau berkata kerajaan negeri mendapati pelaksanaan sistem berkenaan belum benar-benar memenuhi tahap keselesaan yang diharapkan pengguna.
“Penangguhan ini berkuat kuasa serta-merta dan sepanjang tempoh ini, tiada sebarang kutipan bayaran parkir akan dilakukan sehingga semua penambahbaikan yang dipersetujui dilaksanakan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata Majlis Perbandaran Kangar (MPK) diminta untuk berunding dengan syarikat pengendali parkir bagi memastikan setiap penambahbaikan yang dicadangkan dapat dilaksanakan mengikut keperluan pengguna.
“Kita mahu tengok dari aspek seperti lorong masuk yang tidak menyusahkan pemandu, penggunaan aplikasi yang mudah difahami serta kaedah bayaran alternatif supaya lebih mesra pengguna. Kalau penambahbaikan dapat diselesaikan lebih awal daripada enam bulan, kita boleh pendekkan tempoh penangguhan,” katanya.
Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri juga akan mengkaji semula lokasi parkir yang ditetapkan agar lebih sesuai serta menepati keperluan orang awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial