Oleh Noor Azuki Fahme Ismail
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Palestin menggesa negara anggota Persidangan Kerjasama antara Negara-negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) untuk mengambil pendirian lebih padu dan bersatu terhadap dimensi politik berkaitan krisis itu, melangkaui bantuan pembangunan dan bantuan teknikal.
Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin Dr Estephan Salameh berkata walaupun CEAPAD telah menyumbang secara bermakna kepada usaha pembangunan Palestin, kini wujud keperluan untuk solidariti politik lebih kukuh di tengah-tengah kekejaman yang semakin meningkat.
"Kami mahu kumpulan (CEAPAD) ini menjadi lebih daripada sekadar platform pembangunan. Kami mahu ia menjadi suara untuk keadilan dan kebebasan untuk rakyat Palestin. Kami memerlukan sokongan dalam menamatkan penjajahan dan menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka," katanya kepada Bernama.
Dr Salameh berkata mesyuarat CEAPAD tahun ini diadakan pada masa kritikal dan menyakitkan bagi rakyat Palestin.
"Mesyuarat tahun ini berlangsung dalam keadaan yang sangat sukar. Kita berada di sini ketika rakyat Palestin menghadapi genosid dan salah satu pendudukan paling kejam," katanya.
Edisi keempat CEAPAD (CEAPAD IV) hari ini akan menumpukan pada pembinaan kapasiti, pembinaan semula infrastruktur kritikal di Palestin dan penyampaian bantuan kemanusiaan komprehensif yang berkesan.
Mesyuarat itu akan dipengerusikan bersama oleh Dr Salameh bersama Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Jepun Takeshi Iwaya.
Mesyuarat CEAPAD IV itu diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia.
CEAPAD kini dianggotai Jepun, Palestin, Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam.
Sementara itu, Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berkata CEAPAD telah berkembang menjadi platform bermakna untuk perpaduan dan penjajaran politik dalam kalangan negara-negara di Asia Timur dan Asia Tenggara.
"CEAPAD mewakili gabungan unik beberapa negara yang bersedia menyokong pembinaan negara Palestin bukan sahaja menerusi bantuan dan pembangunan kapasiti tetapi turut mengesahkan bahawa rakyat Palestin harus diberi hak sepenuhnya untuk menentukan nasib dan martabat negara sendiri, hak kebebasan nasional dan kedaulatan serta hak kebebasan bergerak” katanya.
Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata pertemuan itu menjadi platform penting untuk menentukur semula usaha negara dan menyatukan bantuan serantau kolektif sebagai respons kepada keperluan mendesak Palestin terutamanya di kawasan kritikal.
Ini termasuk tindak balas kemanusiaan segera, pemulihan awal dan pembinaan semula, pembangunan ekonomi, pembinaan kapasiti, dan pembaharuan dan tadbir urus institusi.
“Persidangan itu dijangka akan capai kemuncaknya dengan penerimaan Pelan Tindakan Kuala Lumpur 2025 yang menggariskan keutamaan CEAPAD untuk Palestin,” katanya.
Malaysia mengulangi komitmennya untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan segera, pembinaan semula Gaza dan pembinaan kapasiti untuk Palestin termasuk menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial