Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jawatankuasa Khas Tangani Beban Guru Perlu Ditubuhkan Segera - NUTP

11/07/2025 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa penubuhan segera jawatankuasa khas bagi menangani isu beban tugas guru selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meringankan tekanan terhadap pendidik.

Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata isu bebanan tugas yang dialami guru bukanlah perkara baharu, sebaliknya ia masalah yang membelenggu kebanyakan guru sejak sekian lama.

Beliau berkata jawatankuasa khas yang dicadangkan itu penting untuk memberikan syor-syor praktikal kepada kerajaan setelah membuat tinjauan menyeluruh di seluruh negara. 

“NUTP amat berharap jawatankuasa khas itu dapat ditubuhkan bagi mencari jalan ke arah mengatasi isu beban tugas guru. NUTP ingin mengulangi sekali lagi bahawa bebanan tugas guru ini lebih bersifat guru terpaksa melakukan tugasan di luar tugas profesional mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau mengulas mengenai langkah KPM yang menggariskan tujuh inisiatif untuk mengurangkan beban guru, termasuk memansuhkan acara tidak berimpak tinggi serta melantik orang awam sebagai pengawas peperiksaan.

KPM menerusi cadangan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) turut menggariskan untuk mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM).

Aminuddin berkata tujuh langkah yang diumumkan KPM itu adalah cadangan daripada MPPK Sesi 2023/2025 yang telah dilaksanakan sejak Februari tahun lepas. 

“Memang inisiatif itu telah membantu mengurangkan bebanan guru kita, namun masih banyak lagi penambahan yang perlu dibuat. 

“Usaha untuk mengurangkan beban tugas guru ini sebenarnya tidak boleh dilakukan serentak dan memerlukan beberapa fasa seperi fasa tindakan segera (quick wins), fasa jangka sederhana dan fasa jangka panjang dan tujuh langkah itu boleh dianggap sebagai usaha dalam fasa quick wins pada masa berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata pentingnya pemantauan berterusan bagi memastikan pelaksanaan langkah berkenaan mencapai matlamat dan bukan sekadar hasrat semata-mata.

 "Guru sepatutnya boleh menumpukan perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP), meningkatkan kompetensi melalui penyelidikan serta membudayakan amalan membaca,” katanya.

Beliau turut mencadangkan penambahan pembantu pentadbiran di sekolah bagi mengendalikan tugas bukan akademik yang selama ini dibebankan kepada guru.

“Kalau kita sediakan pembantu makmal atau pembantu teknologi maklumat, maka pembantu pentadbiran ini perlu kita pastikan nisbahnya mencukupi supaya guru boleh beri tumpuan pada PdP mereka, kajian terhadap perkara ini perlu dilakukan.

“Daripada terpaksa memikul beban tugasan yang tidak seharusnya mereka laksanakan, adalah lebih baik jika mereka memberikan tumpuan terhadap penguasaan kemahiran membaca, menulis, dan mengira (3M) murid,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan