Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 11 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia Sugiono menggesa agar perkongsian ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) diperkukuh dan dilaksanakan secara lebih adil, dengan menyeru kedua-dua pihak memperdalam kerjasama dalam perdagangan, pembangunan mampan dan usaha membina keamanan, sambil memberi amaran bahawa penghakisan undang-undang antarabangsa mengancam kestabilan global.
Berucap pada Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama EU di Kuala Lumpur pada Jumaat - yang diadakan di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan - beliau berkata kedua-dua rantau telah mencapai kemajuan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun menekankan masih banyak yang perlu dilakukan untuk menegakkan rasa hormat dan kesaksamaan dalam perkongsian itu.
“Untuk bergerak lebih jauh, kita perlu menegakkan perkongsian yang setara, adil dan inklusif,” katanya, sambil menambah bahawa dialog membina perlu digalakkan, terutamanya menerusi mekanisme sedia ada seperti Kumpulan Kerja Bersama mengenai Minyak Sawit dan perbincangan mengenai Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif.
Beliau turut mengalu-alukan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara EU dan beberapa negara anggota ASEAN termasuk Indonesia, dan menekankan keperluan dasar ekonomi tanpa diskriminasi untuk membuka potensi penuh hubungan ekonomi ASEAN-EU.
Sugiono menegaskan bahawa kerjasama dalam bidang lain seperti pembangunan mampan dan peralihan tenaga juga kekal kukuh.
Mengenai keselamatan global, beliau menyeru agar komitmen diperbaharui untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan memberi amaran bahawa pelanggaran berterusan serta kekurangan akauntabiliti melemahkan institusi global dan menghakis kepercayaan.
Sugiono turut merujuk kepada krisis kemanusiaan di Palestin dengan mengalu-alukan sokongan terkini daripada negara anggota EU, namun menyifatkannya masih tidak mencukupi dalam menghadapi ketidakadilan yang berterusan.
“Pengabaian terhadap undang-undang antarabangsa serta dasar yang tidak konsisten boleh membawa kesan global,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial