Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kemalangan Helikopter : Tindakan Pantas STAR Team Bukti Kecekapan APMM Tangani Kecemasan

12/07/2025 12:14 AM

JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) -- Tindakan pantas Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam insiden kemalangan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sungai Pulai semalam membuktikan kesiapsiagaan dan kecekapan agensi itu dalam mengurus situasi kecemasan serta komitmen menjaga keselamatan perairan negara.

APMM menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa 10 anggota pasukan berkenaan merupakan penyelamat pertama yang terjun ke sungai dan membawa lima anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) ke dalam bot keselamatan meskipun dalam situasi panik.

“Pasukan yang diketuai Timbalan Skuadron Gempur STAR Team Semenanjung Leftenan Madya Maritim Nur Mohd Farhan Mohd Hamil itu menunjukkan tahap keberanian dan profesionalisme tinggi dalam menyelamatkan kesemua mangsa tanpa sebarang kehilangan nyawa,” menurut hantaran itu.

Dalam kejadian pada 10.15 pagi semalam, sebuah helikopter jenis AS355N bernombor pendaftaran 9M-PHG milik PDRM terlibat dalam kemalangan ketika menjalani Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 yang melibatkan kerjasama Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di Jeti Maritim Gelang Patah.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan bahawa helikopter berkenaan berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi, membawa lima penumpang termasuk juruterbang.

Semalam, dua daripada lima anggota polis yang terlibat dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan, dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim hari ini berkata, tiga mangsa ditempatkan di wad biasa, manakala seorang masih ditidurkan untuk rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan seorang lagi turut dirawat di unit sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan