Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Karnival Usahawan PKNS Sasar Transaksi Jualan RM200,000

12/07/2025 04:03 PM

SHAH ALAM, 12 Julai (Bernama) -- Karnival Usahawan PKNS (KUP) menyasarkan transaksi jualan sebanyak RM200,000 sepanjang tiga hari penganjurannya di Kompleks PKNS di sini.

Exco Belia dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata setakat hari ini, karnival berkenaan yang memberi peluang kepada usahawan meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kebolehpasaran produk telah mencatat jumlah transaksi sebanyak RM65,209.

Beliau berkata KUP menghimpunkan peserta daripada empat program keusahawanan kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu Program Tunas Niaga (PROTUNe), Program Usahawan Siswazah (GROW), Program Usahawan Siswazah Lanjutan (GROW PLUS) dan Program Eksklusif BIZCLUB.

“Usahawan yang menyertai karnival ini bukan sahaja diberi peluang berniaga, malah diwajibkan menyertai kursus persediaan penyertaan ekspo yang merangkumi latihan komunikasi, pemasaran, pengurusan masa dan kemahiran sosial.

“Pengalaman seperti ini amat bernilai dan mungkin tidak diperoleh di tempat lain. Justeru, saya menyeru kepada semua pengunjung hari ini agar membeli produk tempatan dan terus menyokong usahawan kita,” katanya ketika merasmikan KUP 2025 di sini, hari ini.

Mohd Najwan turut menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh dasar dan inisiatif dalam menyokong pembangunan keusahawanan di Selangor.

“Kerajaan negeri percaya bidang keusahawanan mampu membantu mengurangkan kadar pengangguran, meningkatkan daya saing golongan muda dan memperkukuh struktur ekonomi di peringkat akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon berkata penyertaan KUP tahun ini melibatkan 120 reruai jualan yang disertai usahawan dan pelajar dari seluruh negeri Selangor.

“Peningkatan ini mencerminkan semangat keusahawanan yang semakin menyala dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda yang berani tampil memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka melalui platform yang disediakan oleh PKNS,” katanya.

Karnival yang berlangsung sejak semalam dan berakhir esok itu menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti kraftangan, makanan, barangan keperluan bayi serta perkhidmatan katering.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan