JELI, 12 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memantau lima pelajar Malaysia yang masih berada di Iran kerana ingin meneruskan pengajian, kata Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata pihak kerajaan juga telah memberi ruang dan menyatakan hasrat untuk membantu mereka sekiranya mahu pulang ke tanah air.
"Kita bagaimanapun akan terus memantau walau di mana sahaja mereka berada demi keselamatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di Bukit Nangka, di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata hanya lima rakyat Malaysia masih berada di Iran atas pilihan sendiri.
Kesemua mereka telah menandatangani surat aku janji untuk kekal di Iran meskipun kerajaan sebelum ini menggesa supaya kesemua rakyat meninggalkan negara terbabit berikutan konflik yang semakin meruncing.
Pada 23 Jun lepas, sebanyak 17 rakyat Malaysia yang berada di Iran selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama enam warga Iran yang merupakan tanggungan kepada warga Malaysia dan seorang rakyat Singapura.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan bas bulan lepas, Zambry berkata kesemua mereka telah dibenarkan keluar hospital.
"Pelajar terakhir yang cedera telah discaj pada 8 Julai di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
"Sekarang ini, tiga pelajar sudah memulakan pengajian mereka di kampus, manakala selebihnya mengikuti kelas secara dalam talian," katanya.
Dalam nahas 9 Jun itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan yang turut membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial