Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dzulkefly Terbuka Terima Pandangan, Sedia Jelaskan Semua Isu KKM

12/07/2025 07:54 PM

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terbuka menerima pandangan dan bersedia memberi penjelasan ke atas apa jua isu membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dzulkefly berkata beliau menerima kritikan sebagai satu cabaran dan bukan satu serangan dengan jawatan Menteri Kesihatan merupakan amanah rakyat yang berat dan bukan satu keistimewaan.

“Di antara “shape up or ship out” (memperbaiki atau meninggalkan), saya memilih untuk shape up, bukan dengan slogan tetapi dengan kerja kerana saya percaya, membetulkan sistem lebih penting daripada membina persepsi dalam mengemudi KKM. 

“Saya tidak menjanjikan segalanya akan selesai segera tetapi saya berjanji, kami mendengar, kami bertindak dan kami tidak akan berdiam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk pandangan dan kebimbangan dikemukakan seorang editor akhbar baru-baru ini yang mahu Menteri Kesihatan berani menjawab semua isu berhubung KKM. 

Antara isu berbangkit adalah mengenai kekurangan jururawat, Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) serta Sistem ePlacement.

Sementara itu, Dzulkefly berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, KKM berjaya menyelesaikan pindaan Akta Perubatan 1971 [Akta 50] dan Peraturan-peraturan Perubatan 2025 serta menyelesaikan isu pendaftaran pakar Parallel Pathway.

KKM turut berjaya menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam [Akta 852] sebagai langkah mengawal selia penjualan produk merokok termasuk rokok elektronik (vape).

Kejayaan lain termasuk mewujudkan Sistem Pertukaran Suka-Sama-Suka untuk pegawai-pegawai lantikan KKM memohon pertukaran secara persetujuan bersama.

“KKM turut meluluskan peruntukan tambahan untuk hospital, klinik baharu dan klinik daif serta memperkukuh penjawatan tetap doktor, jururawat dan pegawai kesihatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan